
SITI AISYAH PANTAU ISU LAPAN RUMAH RETAK, MAHU TINDAKAN SEGERA
PENGKALAN BATU 18 November – Lapan kediaman di Lorong Peringgit Ria dikenal pasti mengalami keretakan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kerja-kerja pembangunan sebuah projek baharu berhampiran penempatan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Siti Aisyah Mahmood berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk susulan kebimbangan terhadap keselamatan kediaman mereka.
Siti Aisyah berkata, beliau hadir bersama wakil dari setiap agensi berkaitan termasuk Perbadanan Melaka (MCORP), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meneliti aduan serta mengenal pasti punca keretakan rumah penduduk.
“Lapan rumah terbabit merangkumi empat rumah sewa dan empat rumah milik persendirian dengan dua daripadanya dikenal pasti mengalami kerosakan serius.
“Kita dapati memang berlaku keretakan dan berdasarkan aduan-aduan penduduk, mereka bimbang keadaan itu akan menjadi lebih teruk apabila kerja-kerja pembinaan dimulakan, sekali gus meminta tindakan pencegahan dilakukan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Perkara ini yang paling kita bimbangkan apabila kerja-kerja menanam cerucuk bermula mungkin kerosakan sedia ada akan menjadi lebih serius,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Lorong Peringgit Ria, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Siti Aisyah berkata, isu keretakan rumah tersebut menjadi perhatiannya pada hari pertama beliau ‘clock in’ sebagai Adun Pengkalan Batu.
Tambahnya, dua rumah yang mengalami kerosakan lebih serius turut mempunyai nilai warisan tersendiri kerana merupakan rumah pusaka yang pernah menjadi kediaman guru silat dan guru mengaji, selain mengekalkan elemen seni bina lama yang wajar dipelihara.
Sehubungan itu, beliau berharap perbincangan bersama agensi berkaitan dapat menghasilkan penyelesaian segera termasuk meneliti bentuk tanggungjawab dan kemungkinan pampasan kepada pemilik rumah yang terjejas.
“Sebab itu kita mahu cegah dari awal dan minta MCORP segera meneliti perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya kerana difahamkan projek tersebut di bawah pengurusan MCORP.
“Saya turut mencadangkan supaya pokok-pokok besar di atas tanah milik MCORP yang berisiko untuk ditebang bagi mengelakkan dahan atau ranting patah menghempap rumah penduduk, terutama menjelang musim tengkujuh ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

