MAIM SUMBANG ALAT SIAR RAYA KEPADA 30 SEKOLAH HASIL DANA TABUNG AMAL JARIAH

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PENGKALAN BATU 18 November – Sebanyak 30 sekolah terpilih di negeri ini menerima sumbangan alat siar raya (PA sistem) bernilai RM36,000 menerusi Tabung Amal Jariah (TAJA) Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, sumbangan itu bertujuan membantu meningkatkan kemudahan pengurusan dan pengoperasian sekolah, khususnya dalam urusan penyampaian maklumat serta kawalan pelajar.

Beliau berkata, kemudahan berkenaan diharap dapat membantu meringankan tugas guru yang sebelum ini terpaksa menggunakan suara secara langsung untuk memberi arahan atau mengawal pergerakan pelajar.

“Kadangkala guru berdepan kesukaran untuk mengawal pelajar, terutama apabila perlu membuat pengumuman atau menyampaikan arahan kepada jumlah pelajar yang ramai.

“Jadi, dengan adanya alat siar raya ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu urusan guru di sekolah selain mewujudkan suasana pengurusan yang lebih teratur,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sumbangan Peralatan Kepada Sekolah-Sekolah Negeri Melaka Daripada Manfaat Hasil Kutipan Tabung Amal Jariah Negeri Melaka MAIM Bagi Tahun 2026 di Lobi Pusat Balai Islam Melaka, di sini, hari ini.

Menurut Shaifulfazlee, bentuk bantuan yang disalurkan MAIM menerusi TAJA ditentukan berdasarkan keperluan sebenar pihak sekolah, termasuk sumbangan kerusi batu dan komputer sebelum ini.

Katanya, terdapat sekolah yang berdepan kekurangan kemudahan asas termasuk komputer untuk kegunaan pejabat, sekali gus mendorong MAIM meneliti keperluan berbeza setiap institusi pendidikan sebelum menyalurkan bantuan.

“Pemilihan institusi dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk sekolah yang belum pernah menerima bantuan TAJA, sekolah kecil atau luar bandar yang mempunyai sumber kewangan terhad serta institusi yang mempunyai lebih 60 orang guru bagi memperluaskan jangkauan perkhidmatan wakaf dan baitulmal MAIM.

“Ini mencerminkan komitmen berterusan MAIM dalam memastikan dana yang diamanahkan masyarakat dapat dimanfaatkan semula untuk pembangunan dan kesejahteraan umat Islam di negeri ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

144
Kongsi :
Previous post EXCO MELAKA ANGKAT SUMPAH ESOK