PENAT CUCI RUMAH, PERABOT ROSAK, PENDUDUK HARAP BANJIR BERULANG DINOKTAHKAN

Masa Membaca:2 Minit, 47 Saat

SUNGAI UDANG 18 November – Sofa, kabinet televisyen dan almari terpaksa dibuang selepas rosak ditenggelami air meninggalkan pengalaman pahit buat penduduk Kampung Paya Rumput.

Luahan itu dikongsi penduduk yang mendakwa kediaman mereka sudah kira-kira 10 kali dilanda banjir sepanjang enam tahun lalu.

IMG 20261117 WA0015
MUHAMMAD Naufal menunjukkan paras air Sungai Udang yang meningkat susulan hujan lebat sejak petang Selasa sehingga naik ke kawasan kediaman berhampiran.

Bagi penjawat awam, Muhammad Naufal Mohd Ramli, 49, berkata sepanjang lima tahun menetap di kawasan berkenaan, kediamannya sudah kira-kira empat hingga lima kali dinaiki air.

Menurutnya, kejadian Oktober lalu disifatkan paling teruk apabila air mencecah paras lutut di dalam rumah sehingga merosakkan perabot dan peralatan yang akhirnya terpaksa dibuang.

“Kejadian sebelum ini lagi teruk paras air naik, sampai ke lutut, habis semua peralatan, perabot semua kita buang.

“Memang penat sangat nak hadap masalah banjir berulang ini,” luahnya ketika ditemui selepas menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin yang turun padang meninjau keadaan banjir di kampung berkenaan, di sini, hari ini.

Naufal berkata, beliau antara penduduk terawal yang menetap di kawasan berkenaan dan berharap masalah itu mendapat perhatian sewajarnya agar penduduk tidak terus berdepan kesukaran sama.

Katanya, aduan sudah beberapa kali dikemukakan, namun dia mendakwa masih belum melihat tindakan yang dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

Justeru, dia mencadangkan pihak berkaitan menilai keperluan membina pintu kawalan air serta mendalamkan sungai berhampiran bagi membantu melancarkan aliran air.

“Saya mohon pihak bertanggungjawab supaya dapat membuat tindakan sewajarnya dan saya sudah maklumkan kepada Datuk Rais tadi supaya dicadangkan buat ‘flap gate’ dan kalau boleh, sungai ini didalamkan lagi supaya air dapat mengalir dengan lebih lancar.

“Jambatan ini saya rasa perlu ‘ditinggikan’ sedikit supaya tidak ada sampah tersangkut dan menghalang aliran air ketika hujan,” katanya.

Selain itu Muhammad Naufal turut membangkitkan kesan banjir kilat turut mengakibatkan keadaan jalan pada laluan utama rosak.

Tambahnya kekurangan pencahayaan di laluan tersebut juga menyebabkan pengguna terdedah kepada risiko kemalangan terutamanya pada waktu malam.

Dia menganggarkan laluan utama itu digunakan penghuni sekitar 40 hingga 50 rumah termasuk penduduk di bahagian belakang penempatan berkenaan.

“Jangan berlaku kejadian tidak diingini baru hendak buat,” katanya sambil berharap tindakan susulan dapat membantu penduduk menjalani kehidupan dengan lebih selamat dan mengurangkan beban akibat banjir berulang.

IMG 20261117 WA0016
MUHAMMAD Taufik.

Kebimbangan sama disuarakan Mohammad Taufik Nordin, 66, yang mengakui trauma selepas kira-kira 10 kali berdepan banjir sepanjang enam tahun menetap di kawasan berkenaan.

Katanya, kejadian kira-kira dua bulan lalu meninggalkan kesan paling mendalam apabila pelbagai kelengkapan rumah rosak sehingga tidak dapat digunakan lagi.

“Saya sampai trauma. Sofa, kabinet TV, almari habis rosak, tak boleh pakai, terpaksa buang,” katanya.

Menurut Taufik, dalam kejadian terbaharu, air sekali lagi memasuki rumahnya selepas dia melalui pengalaman kerosakan harta benda akibat banjir sebelum ini.

Dia berharap beberapa bukaan saluran paip di tebing sungai diperiksa kerana berdasarkan pemerhatiannya, air memasuki kawasan kediaman melalui saluran berkenaan ketika paras sungai meningkat.

Katanya, air kemudian berpatah balik ke sekitar rumah penduduk apabila tidak dapat mengalir keluar dengan lancar, namun pemerhatian itu memerlukan pengesahan pihak teknikal bagi menentukan punca sebenar banjir.

“Di tepi sungai ni ada satu lubang besar, apabila sudah penuh, air akan melimpah dan menenggelamkan kawasan perumahan, jadi habis tembok-tembok pecah kesan akibat banjir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

178
Kongsi :
Previous post WARUNG JADI ‘PEJABAT TERBUKA’ ADUN LENDU DEKATI RAKYAT SAMBIL BERSARAPAN