
BELUM MASUK PEJABAT, TOK LI DAH MULA BUAT KERJA
KUALA LINGGI 17 November – Meskipun belum masuk ke pejabat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah sudah memulakan khidmatnya kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Katanya, perkara pertama dilakukan selepas mendapat mandat penduduk DUN Kuala Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 adalah membaiki bumbung kediaman penduduk di Kampung Guan, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.
Beliau yang juga mesra di sapa Tok Li, berkata kerja-kerja pembaikan bumbung itu adalah susulan daripada aduan yang diterimanya pihaknya sebelum ini.
“Proses menggantikan bumbung itu dilakukan pagi tadi (semalam). Selepas melakukan penilaian kos menggantikan bahagian bumbung kediaman berkenaan tidak terlalu tinggi, jadi kita tidak tangguh.
“Berdasarkan pemerhatian bahagian bumbung berkenaan mengalami kerosakan serius dan berkarat. Saya juga sedang meneliti satu lagi permohonan untuk menggantikan bumbung, jika kos kerja-kerja itu terlalu tinggi kita mungkin akan salurkan kepada agensi berkaitan seperti Majlis Agama Islam Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Rosli berkata, inisiatif itu adalah selaras dengan arahan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh yang mahu semua Adun turun padang meninjau permasalahan rakyat dan segera menyelesaikannya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Rosli yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Linggi dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 4,883 undi.
Beliau memperoleh 7,760 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH-Amanah), Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah mendapat 2,877 undi dan calon Bersama, Dr. Nur Farhana Hamzah memperoleh 439 undi.
PROSES menggantikan bumbung kediaman penduduk di Kampung Guan, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah yang mengalami kerosakan serius. Foto Rosli Abdullah
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

