
SAMBIL ‘NGETEH’ ACIK ZUL DENGAR MASALAH RAKYAT
TABOH NANING 17 November – Sambil menjamah hidangan sarapan pagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin memasang telinga untuk mendegar isu serta permasalahan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Katanya, kaedah itu bukan sahaja lebih santai dan tidak terlalu formal malah memudahkan penduduk yang mungkin kesuntukan masa untuk berurusan secara rasmi di Japerun Taboh Naning.
“Kalau duduk ‘ngeteh’ di warung kampung sudah pasti ramai yang datang, lebih bagus berbanding cuma menunggu di kerusi empuk di pejabat. Ini adalah cara saya sejak dahulu lagi, sepanjang lima tahun menjadi Adun pada penggal lalu.
“Sambil menghirup teh tarik, macam-maca cerita yang diluahkan oleh penduduk. Malah ada maklumat yang disampaikan sebenarnya adalah benda penting, namun pada mata penduduk ia adalah perkara kecil.
“Kaedah ini membantu saya dalam menguruskan DUN dengan lebih baik, apa yang penting kita segerakan demi keselesaan warga Taboh Naning,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Zulkiflee yang juga mesra dengan panggilan Acik Zul berkata, permasalahan yang diterima kemudian akan dirujuk kepada jabatan atau agensi yang berkenaan bagi tindakan selanjutnya termasuk penyelesaian.
“Jika perlu buat aduan rasmi pihak Japerun akan bantu untuk salurkan perkara dibangkitkan kepada agensi dan jabatan berkaitan, saya tidak mahu isu membelengggu rakyat tertangguh bagi tempoh masa yang lama.
“Sebelum ini Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh kerap mengingatkan Adun supaya tidak melengah-lengahkan masalah rakyat,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 Zulkiflee yang dicabar dalam saingan satu lawan satu berjaya mengekalkan penguasaan Barisan Nasional di kerusi DUN Taboh Naning dengan majoriti 5,027 undi.
Beliau memperoleh 6,470 undi berbanding lawannya iaitu Junainah Sahat (PH-Amanah) yang mendapat sebanyak 1,443 undi sahaja.
Sementar itu pada PRN Melaka Ke-15 Zulkiflee yang juga penyandang kerusi DUN Taboh Naning menang dengan majoriti 1,825.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

