JEZLEE SEDIA DENGAR, TELITI SETIAP ADUAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

SUNGAI RAMBAI 17 November – Pelbagai aduan penduduk Sungai Rambai yang disuarakan menerusi media sosial akan diteliti bagi mengenal pasti tindakan bersesuaian, sekali gis menyelesaikan isu dibangkitkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Jezlee Pit berkata, beliau mengambil maklum pelbagai komen dan aduan diterima, termasuk berkaitan keadaan jalan yang memerlukan perhatian.

Beliau bagaimanapun berkata, semua aduan akan diberikan perhatian namun bukan semua perkara dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat kerana perlu dirujuk kepada pelbagai agensi berkaitan.

“Saya tidak menjanjikan semua akan diselesaikan secepat mungkin. Ada yang boleh diselesaikan segera dan ada yang perlu dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Insya-Allah, saya akan teliti dan kita akan teruskan. Orang ramai juga boleh terus memberikan pendapat sama dalam media sosial atau bersemuka,” katanya menerusi satu perkongsian video di Facebook rasminya, pada Isnin.

Antara aduan yang dipaparkan dalam perkongsian itu termasuk keadaan jalan berlubang serta laluan yang memerlukan penyelenggaraan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.

Jezlee berkata, beliau akan terus berusaha membawa setiap aduan dan suara penduduk kepada pihak berkaitan untuk tindakan sewajarnya.

“Apa pun, jangan risau, setiap perkara ada proses dan penyelesaiannya. Saya akan terus berusaha membawa suara anda semua ke tempat yang sepatutnya. Cepat atau lambat, pasti sampai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

133
Kongsi :
Previous post ADUAN PENDUDUK LENDU KINI DI HUJUNG JARI, WHATSAPP KHAS DIBUKA