MISI 100 HARI BERMULA, AZRIL KOMITED JAYAKAN ‘TEKAD KELUARGA REMBIA’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

REMBIA 17 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz memulakan tugas rasmi hari pertamanya dengan memfokuskan penyusunan pentadbiran serta pelaksanaan enam teras utama di dalam ‘Tekad Keluarga Rembia’ sebagai misi 100 harinya.

Sebagai permulaan, beliau yang baru melangkah masuk ke pejabat Japerun Rembia, semalam, menetapkan isu kebajikan dan menaik taraf kemudahan infrastruktur asas sebagai keutamaan.

Menurutnya, segala tekad atau manifesto yang digariskan itu bukan sekadar janji kosong, sebaliknya adalah azam yang akan direalisasikan secara berterusan sepanjang tempoh lima tahun mandat diberikan.

“Dalam misi 100 hari ini, kita akan fokus terutamanya yang berkaitan dengan Tekad Keluarga Rembia, tentunya kebajikan.

“Yang keduanya berkaitan dengan kemudahan asas dan infrastruktur yang perlu sentiasa dinaik taraf dari masa ke semasa, agar penduduk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rembia , di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa walaupun misi 100 hari menjadi tumpuan awal pentadbiran, sasaran utama beliau sebenarnya adalah perancangan jangka panjang sepanjang tempoh lima tahun perkhidmatan.

Justeru, beliau komited untuk merealisasikan kesemua enam teras utama di dalam manifesto beliau merangkumi aspek infrastruktur dan kemudahan awam, kebajikan, pendidikan, belia dan sukan, kerohanian, serta pembangunan dan ekonomi, yang akan diselaraskan teliti bersama Kerajaan Negeri.

Mengulas mengenai rutin mingguannya ke Pasar Minggu Alor Gajah, beliau menegaskan bahawa amalan turun padang menyantuni rakyat dan menziarahi penduduk sakit adalah kebiasaannya sejak dahulu, dan bukannya sekadar agenda politik.

“Pasar minggu itu saya turun sebab rutin saya sebelum ini. Sambil itu kita bertemu masyarakat dan rapat bersama-sama. Turun padang ini secara berterusan, tiada istilah 100 hari, ia bermula dari sekarang dan seterusnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

126
Kongsi :
Previous post ISU BANJIR SERKAM: TOK MAN TURUN PADANG, TINJAU KEADAAN