14 HARI SETIA TEMANI SUAMI BERKEMPEN, ERNIE SIMPAN KENANGAN PALING MANIS

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SERI NEGERI 18 November – Dua minggu turun padang menemani suami mendekati pengundi menjadi pengalaman manis buat Datin Ernie Aidilia Karim, lebih-lebih lagi apabila kempen itu berakhir dengan kemenangan Datuk Rais Yasin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Bagi Ernie, peluang bersama jentera wanita sepanjang tempoh berkempen bukan sahaja membolehkannya bertemu dan beramah mesra dengan penduduk, malah memberikan pengalaman bermakna dalam memahami kesungguhan petugas pilihan raya mendekati masyarakat.

Beliau berkata, pengalaman turun padang bersama jentera itu turut menimbulkan rasa bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada usaha yang membawa kepada kemenangan suaminya.

“Saya rasa seronok dan amat bangga dapat bersama-sama dengan jentera wanita.

“Seronok kerana dapat beramah mesra dengan pengundi dan bertemu ramai orang. Semuanya satu pengalaman yang manis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Ernie merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi dan jentera pilihan raya yang memberikan sokongan serta bekerjasama sepanjang tempoh berkempen.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua pengundi dan jentera yang telah bekerja bersama-sama dengan kami untuk menjayakan pilihan raya kali ini,” katanya.

Mengulas mesej kepada warga Sungai Udang, beliau menyifatkan kemenangan itu bukan kejayaan individu semata-mata, sebaliknya hasil sokongan dan usaha bersama seluruh masyarakat serta jentera yang terlibat.

“Kepada seluruh warga Sungai Udang, terima kasih dan alhamdulillah. Kita menang bukan seorang, kita menang bersama-sama. Terima kasih semua atas sokongan,” katanya.

Pada PRN Melaka Ke-16, Rais yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Sungai Udang dengan memperoleh 18,317 undi dan majoriti 16,214 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

91
Kongsi :
Previous post ‘SAYA TIDAK PILIH BULU, SEMUA PENDUDUK TABOH NANING SAYA BANTU’