BANJIR UJIAN PERTAMA RAFIE DI PAYA RUMPUT, MAHU SALIRAN DISENGGARA 4 KALI SETAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SERI NEGERI 18 November – Isu banjir kilat yang berulang sehingga dua hingga tiga kali setahun di beberapa kawasan menjadi antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Rafie Ahmad selepas memulakan tugas sebagai wakil rakyat.

Bagi memastikan masalah itu diberi perhatian segera, beliau turun padang meninjau beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas banjir ketika hujan lebat melanda kawasan berkenaan, semalam.

Rafie berkata, beliau mengambil keputusan membatalkan kehadiran ke satu majlis di Kuala Lumpur bagi membolehkan beliau turun dan meninjau sendiri keadaan di lapangan, sekali gus menjadikan isu banjir sebagai antara perkara pertama yang diberi perhatian.

Menurutnya, antara lokasi yang dikunjungi ialah Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama dan Taman Krubong Jaya yang merupakan antara ‘hotspot’ banjir bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah serta mendengar penerangan berhubung perancangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.

“Apabila hujan lebat turun, hati saya sudah tergerak untuk turun padang. Saya sebenarnya ada jemputan satu majlis di Kuala Lumpur, tetapi saya maklumkan tidak dapat hadir kerana perlu turun melihat keadaan di kawasan.

“Ini ujian pertama yang saya perlu hadapi dan pastikan saya berada di lapangan untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafie berkata, antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kejadian banjir kilat ialah masalah saliran tersumbat akibat pengumpulan sampah pada penapis saliran (strainer), sekali gus menjejaskan kelancaran aliran air.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kekerapan penyelenggaraan saliran ditingkatkan daripada dua kali setahun kepada sekurang-kurangnya tiga atau empat kali setahun.

“Kadangkala apabila berlaku banjir, banyak sampah terkumpul dan menyebabkan saluran tersumbat pada bahagian strainer. Ini antara faktor yang menyebabkan air cepat naik.

“Jadi, saya berharap jadual penyelenggaraan dapat disemak semula dan kekerapan kerja-kerja itu ditingkatkan berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berharap segala langkah penambahbaikan yang dikenal pasti dapat disegerakan menerusi kerjasama agensi berkaitan bagi mengurangkan risiko banjir serta memastikan penduduk tidak terus berdepan masalah sama setiap kali hujan lebat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

189
Kongsi :
Previous post MAIM SUMBANG ALAT SIAR RAYA KEPADA 30 SEKOLAH HASIL DANA TABUNG AMAL JARIAH