
HAMEED SEDIA PIKUL APA JUA AMANAH SEKIRANYA DILANTIK SEMULA SEBAGAI EXCO
SERI NEGERI 18 November – Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer bersedia menerima apa juga portfolio sekiranya diberi kepercayaan menganggotai semula barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka bagi penggal baharu.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau itu mengakui selesa dengan portfolio yang disandang sebelum ini dan berharap diberi peluang untuk meneruskan tanggungjawab berkenaan.
Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya diberikan portfolio berbeza kerana perkara utama adalah kesediaan memikul amanah serta melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.
“Saya bersedia dalam apa jua keadaan, sama ada diberikan kepercayaan sekali lagi untuk menerajui portfolio sebelum ini atau diberikan portfolio lain.
“Tidak kira apa juga portfolio yang diberikan, saya bersedia. Namun, saya cukup selesa dengan portfolio yang disandang sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hameed berkata, sekiranya terus diberi kepercayaan menganggotai barisan Exco, beliau akan memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri.
“Saya akan cuba menunaikan amanah dan tanggungjawab sebaik-baiknya sekiranya terus diberi kepercayaan,” katanya.
Untuk rekod, Hameed pernah dilantik sebagai Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri Melaka pada 5 April 2023 oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Pelantikan barisan Exco baharu Kerajaan Negeri Melaka dijadual berlangsung esok susulan pembentukan pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

