‘TOK MAN’ MAHU AKHIRI EPISOD AIR BERTAKUNG SIMPANG SERKAM PEKAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 18 November – Masalah air bertakung di persimpangan Serkam Pekan yang sekian lama menjadi rungutan penduduk antara isu awal diberi perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Azman Abdullah.

Azman yang lebih mesra dengan panggilan Tok Man berkata, beliau tidak mahu masalah berlarutan itu terus diwarisi tanpa penyelesaian, justeru tindakan awal sudah diambil bagi mengenal pasti punca serta kaedah terbaik mengatasinya.

Menurutnya, beliau sudah meminta kontraktor Selia Selenggara turun ke lokasi berkenaan bagi meneliti keadaan dan mencadangkan langkah penambahbaikan yang bersesuaian.

“Simpang Serkam Pekan itu memang sejak dahulu lagi berdepan masalah air bertakung. Jadi, saya perlu buat sesuatu untuk mengatasi masalah ini.

Jadi, apa saya lalukan adalah dengan memanggil pihak Selia Selenggara untuk melihat bagaimana masalah ini boleh diselesaikan. Saya tidak mahu perkara sama terus berulang dan masalah ini perlu dinoktahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tok Man berkata, selain masalah air bertakung, keadaan cuaca tidak menentu yang kerap membawa hujan turut menyebabkan beberapa kawasan di DUN Serkam berdepan risiko banjir.

Katanya, isu berkaitan sistem perparitan, keadaan jalan raya dan lampu awam turut menjadi antara keutamaan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan kemudahan asas penduduk berada dalam keadaan baik.

“Selain masalah air bertakung, dalam keadaan cuaca tidak menentu dan hujan yang kerap, ada juga kawasan yang berdepan masalah banjir.

“Saya sudah mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah utama yang menjadi rintihan rakyat, khususnya berkaitan longkang, jalan dan lampu awam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memberi ruang kepada penduduk untuk menyampaikan aduan dan permasalahan secara langsung menerusi Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN).

“Saya menerima apa sahaja rintihan rakyat dan akan cuba melakukan yang terbaik untuk seluruh warga DUN Serkam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

215
Kongsi :
Previous post PENTADBIRAN TERBUKTI BERKESAN, PELANTIKAN SEMULA AB RAUF SANGAT WAJAR