
RAKYAT YAKIN AB RAUF MAMPU BAWA MELAKA LEBIH JAUH
AYER KEROH 18 November – Kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh yang disifatkan berjaya membawa pelbagai kemajuan kepada Melaka mendapat pujian rakyat yang berharap momentum pembangunan negeri terus dipacu pada penggal baharu.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata penduduk yang ditemui menyambut baik pelantikan semula Ab Rauf, selain menaruh harapan agar usaha memperkukuh ekonomi, merancakkan sektor pelancongan dan meningkatkan kemudahan infrastruktur dapat diteruskan.
Penduduk Taman Peringgit, Ab Razak Hussain, 57, berkata beliau menyokong pelantikan semula Ab Rauf dan yakin pengalaman serta kepimpinan beliau mampu membawa Melaka mencapai kemajuan lebih besar.
“Saya menyokong penuh pelantikan semula Ab Rauf sebagai Ketua Menteri dan berharap beliau dapat membawa Melaka pergi lebih jauh menerusi pelbagai usaha pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Noor Asmawi Johar, 48, berkata pencapaian ekonomi dan pelbagai kejayaan yang diraih Melaka sebelum ini membuktikan keupayaan kepimpinan Ab Rauf dalam menerajui pentadbiran negeri.
“Memang beliau selayaknya memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri lagi kerana di bawah pimpinan beliau, Melaka mencapai pelbagai kemajuan dan kejayaan,” katanya.
Bagi peniaga nasi ayam, Muhammad Ajwad Jamal, 24, perkembangan sektor pelancongan negeri turut memberi kesan positif kepada peniaga tempatan apabila kehadiran pengunjung dari luar Melaka membantu meningkatkan aktiviti perniagaan.
Justeru, dia berharap lebih banyak program dan aktiviti pelancongan dianjurkan sepanjang penggal baharu bagi memastikan Melaka terus menjadi destinasi pilihan pelancong.
“Saya berharap lebih banyak program pelancongan dapat dianjurkan kerana kehadiran pengunjung, terutama pada hujung minggu, banyak membantu perniagaan kami,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Hakim Abdullah, 29, dari Sungai Petai pula berkata kesinambungan kepimpinan Ab Rauf penting bagi memastikan usaha pembangunan yang dilaksanakan sebelum ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan.
Menurutnya, penganjuran pelbagai program pelancongan bukan sahaja berjaya menarik kehadiran pengunjung, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan.
Dia turut berharap pembangunan kemudahan awam dan infrastruktur terus diberi perhatian supaya manfaat kemajuan negeri dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

