Sorting by

×

‘MHS THUNDERBOLTS’ SASAR 5 TERBAIK LIGA HOKI REMAJA MALAYSIA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 4 Julai – Pasukan Hoki ‘MHS Thunderbolts’ Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka meletakkan sasaran berada dalam kelompok lima terbaik dalam saingan Divisyen 1 Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2025 yang bakal bermula 17 Julai ini.

Ketua Jurulatihnya, Muhammad Fahmi Zulkifli Auni, berkata sasaran tersebut selari dengan objektif Thunderbolts yang disokong penuh oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaku penaja utama.

“Ini tahun pertama kami bertanding di Divisyen 1 dan sasaran kami adalah menduduki sekurang-kurangnya tangga kelima.

“Ia satu cabaran besar, lebih-lebih lagi perlu bersaing dengan pasukan kuat seperti SSBJ Thunderbolts, SSTMI Thunderbolts, Akademi Hoki Pahang (AHP) Thunderbolts dan Anderson Thunderbolts,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pasukan Hoki Thunderbolts SMK Tinggi Melaka di dewan sekolah berkenaan, di sini, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Presiden Persatuan Hoki Melaka, Datuk Rais Yasin.

Tambah Muhammad Fahmi, SMK Tinggi Melaka yang baharu sahaja diserap sebagai pasukan rasmi ‘Thunderbolts’ turut menghantar satu lagi pasukan junior ke Divisyen 2, yang akan memulakan saingan lebih awal pada 8 Julai ini.

“Pasukan junior dihantar sebagai kesinambungan pembangunan pemain muda. Ini memastikan kita sentiasa ada pelapis untuk pasukan hoki kita di masa akan datang, lebih-lebih lagi apabila pemain sedia ada melepasi had umur.

“Pasukan senior terdiri daripada pemain tingkatan lima hingga umur 19 tahun kini giat menjalani persiapan rapi termasuk mendapatkan tunjuk ajar dan bantuan fasiliti daripada barisan jurulatih ‘Thunderbolts’.

“Sumbangan TNB bukan sahaja menaikkan semangat pemain, malah membolehkan kami memperoleh peralatan latihan baharu yang lebih moden,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1102
Kongsi :
Previous post MPHTJ BERI SEMANGAT BAHARU KEPADA WARGA BEMBAN
Next post NENEK BERSYUKUR TIADA LAGI ALAMAT ‘KUNO’ SELEPAS 50 TAHUN