‘SAYA JUGA PERNAH RASAI KEPAYAHAN SEBAGAI NELAYAN’ – ROSLI ABDULLAH

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LINGGI 3 November – Membesar dalam komuniti nelayan, banyak membantu calon Barisan Nasional (BN) kerusi N01 Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah, memahami komuniti berkenaan yang berdepan pelbagai cabaran ketika keluar ke laut untuk mencari rezeki.

Katanya, kepayahan yang dilalui satu ketika dahulu mendorong beliau untuk memudahkan nelayan di DUN berkenaan mendapatkan bantuan peralatan yang menjadi keperluan utama  mereka.

Mesra dengan panggilan Tok Li, beliau yang juga calon nombor 3 bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 berkata, antara perkara kerap disuarakan nelayan adalah kos membaiki peralatan seperti jaring dan menyelenggara enjin bot yang tinggi.

“Saya juga pernah turun ke laut membantu bapa saudara ketika kecil, jadi memang faham cabaran mereka, ada yang keluar pagi sampai ke petang tetapi tangkapan tidak seberapa.

“Susulan itu Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif dengan membekalkan peranti ‘Global Positioning System’ (GPS) dan alat pengesahan ikan (fish finder).

“Difahamkan peranti ini akan dibekalkan secara berperingkat dan saya amat berharap inisiatif ini dapat membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sembang Santai Nelayan Bersama Calon N01 Kuala Linggi Datuk Haji Rosli Abdullah di sebuah restoran makanan laut, di sini, pada Ahad.

Rosli juga berharap nelayan tidak berlesen di DUN Kuala Linggi agar mendaftar bersama Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat dengan segera.

“Banyak manfaat apabila sudah menjadi ahli, urusan menyalurkan bantuan menerusi pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan juga akan menjadi lebih mudah,” kataya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

662
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KEROSAKAN BAHAN KEMPEN ANTARA TUJUH KES DISIASAT
Next post KHIDMAT TOK HAMEED TAK KIRA PARTI POLITIK, PERBEZAAN AGAMA