MAIM AJAK ORANG RAMAI REBUT PELUANG SAHAM WAKAF PEMBINAAN MASJID PULAU BESAR

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 2 November – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengajak orang ramai merebut peluang menyertai Saham Wakaf Pembinaan Masjid Pulau Besar sebagai usaha bersama menyumbang kepada pembangunan rumah ibadat yang bakal menjadi pusat kegiatan ibadah dan pengimarahan Islam.

Inisiatif itu membuka ruang kepada masyarakat untuk berinfak mengikut kemampuan masing-masing, dengan sumbangan yang disalurkan diharap menjadi amal jariah berterusan apabila masjid berkenaan siap dibina dan dimanfaatkan umat Islam.

MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, cetusan idea pembinaan masjid itu adalah daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, manakala lokasi tapak yang dikenal pasti ialah Lot 1870 dan sebahagian Lot 1869, Mukim Pernu, Melaka.

Menurut kenyataan itu, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui beberapa kaedah yang disediakan bagi memudahkan urusan infak, termasuk potongan gaji, akaun Bank Islam, platform MelakaPay atau imbasan kod QR pada poster rasmi kempen berkenaan.

Bagi sumbangan melalui akaun Bank Islam, orang ramai boleh menyalurkan infak ke akaun Saham Wakaf Pembinaan Masjid Pulau Besar Melaka di akaun 04 0150 1007 8877.

Selain itu, permohonan potongan gaji secara dalam talian boleh dibuat menerusi portal https://sppw.maim.gov.my/permohonan-baru, manakala sumbangan turut boleh disalurkan melalui platform MelakaPay di https://melakapay.melaka.gov.my.

MAIM turut memaklumkan bahawa sumbangan derma bagi tujuan berkenaan dikecualikan daripada cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967, dengan nombor rujukan JHDN.01/35/42/51/179-1.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Wakaf dan Mal MAIM menerusi talian 06-283 7416 atau 06-283 2077.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF LIHAT MELAKA LANDASAN KEBANGKITAN BN KE PUTRAJAYA
Next post PRN MELAKA: ‘ALONG’ MAHU SEDIA TANDAS SELESA UNTUK 24 RUMAH ORANG ASLI