PRN MELAKA: OBOR PERJUANGAN VETERAN MUBARAK TERUS MENYALA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TANJUNG BIDARA 2 November – Usia bukan penghalang kepada barisan veteran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) untuk terus menyumbang kepada perjuangan politik apabila mereka masih aktif turun padang membantu gerak kerja Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, komitmen golongan veteran yang sanggup hadir dari pelbagai negeri bagi menyertai gerak kerja kempen membuktikan semangat perjuangan mereka masih utuh walaupun sudah bersara daripada arena politik.

Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi MUBARAK Malaysia, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Rahman serta barisan veteran UMNO yang terus memberikan sokongan dan menyumbang pengalaman mereka kepada parti.

“Walaupun usianya sudah 80 tahun, tapi titik perjuangan ini tidak ada noktah untuk berehat. Tiada akhir perjuangan ini walaupun kita sudah masuk usia warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sahabat Setia MUBARAK Melaka Bersama Ketua Menteri Melaka Parlimen Masjid Tanah di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Menurutnya, semangat serta kesetiaan golongan veteran itu wajar dijadikan teladan kepada jentera parti masa kini, khususnya dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang kempen pilihan raya.

“Yang meninggalkan UMNO, silakan. Tetapi kita ini, orang yang setia walau apa juga terjadi, di hati kita, jiwa kita, perjuangan kita kekal bersama dengan UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau yang juga calon nombor dua bagi kerusi DUN Tanjung Bidara berkata, pengorbanan generasi terdahulu menjadi antara asas kepada kemajuan yang dinikmati hari ini, justeru sumbangan mereka perlu dihargai dan dijadikan pedoman oleh generasi pelapis.

Katanya, usaha serta pengorbanan jentera sepanjang PRN kali ini juga penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan dapat diteruskan kepada generasi akan datang.

“Perjuangan tuan-tuan pada 14 hari bulan inilah yang membina jambatan untuk dilintasi oleh anak cucu kita bagi masa depan yang jauh lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

263
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF BONGKAR RAHSIA TERSIRAT BENDERA UMNO
Next post PRN MELAKA: AB RAUF LIHAT MELAKA LANDASAN KEBANGKITAN BN KE PUTRAJAYA