PRN MELAKA: 8,569 KERTAS UNDI POS DIKELUARKAN

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 2 November – Sebanyak 8,569 kertas undi pos dikeluarkan kepada pengundi yang layak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 setakat hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 8,041 kertas undi pos dikeluarkan kepada petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera serta petugas media yang memohon di bawah Kategori 1A.

Menurutnya, sebanyak 433 kertas undi pos pula dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap di luar negara menerusi Kategori 1B, manakala 95 lagi kepada pegawai agensi atau organisasi yang diluluskan SPR di bawah Kategori 1C.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua pengundi pos diingatkan supaya membuat penandaan pada kertas undi, melengkapkan Borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) dengan betul dan mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN masing-masing sebelum jam 5 petang pada hari mengundi, 14 November ini.

Pada masa sama, SPR turut mengingatkan pengundi supaya menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos atau menyebarkannya menerusi media sosial.

Pengeluaran sebanyak 8,569 kertas undi pos itu dilaksanakan pada 2 November 2026 selaras dengan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRU DUN Melaka Ke-16.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

199
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KAMPUNG SUNGAI PETAI DEKAT DI HATI AZRIL
Next post PRN MELAKA: BEKAS WAKIL RAKYAT, VETERAN UMNO GABUNG TENAGA BANTU KEMPEN BN – AB RAUF