
TEKNOLOGI HIBRID BUKA DIMENSI BAHARU INDUSTRI AUTOMOTIF MELAKA
TABOH NANING 2 November – Pemasangan dua model kenderaan hibrid baharu di Pegoh menjadi satu lagi perkembangan dalam usaha memperkukuh kedudukan Melaka sebagai antara lokasi penting dalam rantaian industri automotif negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan itu mencerminkan keupayaan sektor automotif negeri untuk bergerak seiring perubahan teknologi serta permintaan terhadap kenderaan yang menawarkan pilihan mobiliti lebih cekap.
Menurutnya, dua model berkenaan iaitu GWM WEY G9 HEV dan EC 15S HEV dipasang di fasiliti EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, sekali gus menambah kepelbagaian model kenderaan yang dipasang di Melaka.
Katanya, fasiliti berkenaan turut memasang beberapa model daripada jenama Great Wall Motor (GWM), MG dan XPeng, dengan kapasiti pengeluaran disasarkan melebihi 30,000 kenderaan setahun.
“Ini adalah jenis kemajuan yang kita mahu lihat di Melaka. Lebih banyak pelaburan, kapasiti pengeluaran lebih besar dan yang paling penting, lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat.
“Apa yang membuatkan pencapaian ini lebih bermakna adalah apabila kenderaan yang dipasang di Melaka sudah menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Roll-Off Pemasangan Dua Model GWM WEY G9 HEV dan EC 15S HEV di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Md Azhan Samat; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar dan Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah.
Ab Rauf berkata, lebih 1,100 unit kenderaan GWM WEY G9 yang dipasang di Malaysia sudah dieksport ke Thailand dan Indonesia, manakala jumlah keseluruhan kenderaan GWM yang dipasang di negara ini kini melebihi 10,000 unit.
“Angka ini membuktikan daya saing industri automotif kita semakin berkembang, malah saya turut berharap model hibrid baharu ini akan menembusi lebih banyak pasaran termasuk seluruh ASEAN,” katanya.
Beliau berkata, Melaka mempunyai kelebihan dari segi kawasan perindustrian sedia ada, infrastruktur moden, jaringan perhubungan yang baik, tenaga kerja mahir serta rangkaian pembekal tempatan yang semakin berkembang.
Katanya, Kerajaan Negeri turut menyambut baik perancangan menaik taraf kemudahan pemasangan sedia ada, termasuk menambah stesen pemasangan, mempertingkat proses pemeriksaan kenderaan dan meningkatkan keupayaan penghantaran bagi menyokong perkembangan industri automotif di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


