
NILAI BERDASARKAN PRESTASI, TERUSKAN KESINAMBUNGAN KEHARMONIAN DI MELAKA
TABOH NANING 2 November – Rakyat Melaka diberi mandat untuk menentukan calon bagi mewakili mereka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 diminta membuat pilihan berdasarkan kepada hasil kerja sepanjang penggal lalu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, rakyat seharusnya memilih parti yang sudah terbukti membela kebajikan mereka dan membawa kemakmuran kepada negeri ini.
Ab Rauf yang juga calon nombor 2 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N02 Tanjung Bidara juga menasihatkan rakyat supaya bijak menilai dan tidak termakan hasutan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Pada 14 November nanti adalah ‘hari jadi’ orang Melaka, saya harap kepada semua pilih dengan bijak agar kita dapat teruskan kesinambungan keharmonian dan kesejahteraan yang sedia ada.
“Buat penilaian berdasarkan apa yang kita sudah persembahan sepanjang penggal yang lalu dan terjemahkan pada 14 November nanti.
“Bukan sahaja demi faedah kita hari ini, tetapi untuk kita warisan keharmonian dan keamanan yang dinikmati kepada generasi akan datang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Sarapan Bersama Ketua Menteri di Warung Cik Ros Taman Sri Naning, di sini, hari ini.
Hadir sama calon nombor dua kerusi DUN N05 Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin, pemimpin parti komponen serta rakan strategik BN.
Sementara itu mengulas berhubung situasi semasa PRN Melaka Ke-16 Ab Rauf berkata, bermula hari penamaan calon proses demokrasi itu setakat ini berjalan dalam suasana yang amat harmoni.
“Alhamdulilah semua jentera BN berkempen secara bijak, kita menolak kempen berunsur hasutan, kebencian, fitnah atau berunsur jahat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


