MELAKA GEOPARK BUKA PELUANG EKONOMI KEPADA USAHAWAN TEMPATAN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 2 November – Pembangunan Melaka Geopark bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemuliharaan warisan alam dan budaya, malah membuka ruang kepada komuniti menjana pendapatan menerusi aktiviti geopelancongan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan Melaka Geopark perlu diukur melalui manfaat ekonomi yang dapat dinikmati masyarakat, khususnya penduduk yang tinggal berhampiran kawasan geotapak.

“Seramai 20 usahawan telah dikenal pasti dan menerima sijil pengiktirafan Usahawan Melaka Geopark pada 28 Oktober lalu sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan mereka dalam inisiatif ini.

“Selain itu, pembangunan modul asas ‘geoguide’ dijangka memberi manfaat kepada 50 peserta bagi fasa pertama, sekali gus membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pemandu pelancong geopark,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perasmian Sesi Penilaian Aspiring Melaka Geopark di sebuah hotel di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Datuk Zamri Ramli; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Melaka Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar dan kenamaan lain.

Jelasnya, peluang ekonomi turut boleh dikembangkan menerusi aktiviti geopelancongan, inap desa, kraftangan serta perusahaan makanan tradisional yang mengetengahkan keunikan dan identiti tempatan.

“Usaha ini diharap dapat menarik pelancong untuk meneroka keindahan warisan alam, mengenali budaya masyarakat setempat serta menikmati produk tempatan, sekali gus membantu usahawan meluaskan pasaran hingga ke peringkat antarabangsa.

“Pembangunan ekonomi dan pelancongan perlu bergerak seiring dengan usaha pemuliharaan alam sekitar serta warisan negeri selaras dengan slogan Melaka Geopark, Preserving Nature, Celebrating Heritage,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post LEBIH RM14 JUTA PERKUKUH PEMBANGUNAN MELAKA GEOPARK
Next post KLINIK KESIHATAN FELDA BUKIT SENGGEH KINI LEBIH SELESA, RAWATAN BERKUALITI