
PRN MELAKA: RAMAI MAHU JADI ‘GENG BIRU’ DI KLEBANG
KLEBANG 1 November – Berbekalkan rekod perkhidmatan dan pelbagai inisiatif mendekati rakyat, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong meletakkan sasaran mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Ban Hong berkata, pelbagai program mesra rakyat yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sepanjang tempoh pentadbiran menjadi antara bukti komitmen berterusan dalam mendekati masyarakat, bukannya hanya muncul ketika musim pilihan raya.
Menurutnya, antara inisiatif diperkenalkan termasuk program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Jelajah Ketua Menteri dan program Hebat yang membolehkan kepimpinan negeri turun padang bertemu masyarakat serta mendengar keperluan mereka.
“Ketua Menteri memperkenalkan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Jelajah Ketua Menteri dan juga program HEBAT (Hari Exco Bertemu Rakyat) untuk membolehkan kepimpinan berjumpa dengan masyarakat.
“Ini jelas membezakan kita dengan parti-parti lain. Kesemua usaha ini telah dijalankan semenjak Ketua Menteri menerajui kerajaan dan bukan hanya apabila pilihan raya hampir tiba sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama jentera BN di Bilik Gerakan BN Bukit Rambai, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Dalam pada itu, Ban Hong turut merakamkan penghargaan kepada Ab Rauf atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.
Mengulas sokongan pengundi, beliau berkata, maklum balas positif yang diterima sepanjang aktiviti turun padang memberikan keyakinan untuk terus memperjuangkan kepentingan masyarakat setempat.
Katanya, sambutan orang ramai yang secara terbuka meminta bendera dan baju parti untuk menyertai ‘Geng Biru’ turut menjadi antara perkembangan menarik sepanjang tempoh kempen.
“Jadi kita ada keyakinan penuh bahawa Negeri Melaka, selepas Pilihan Raya Negeri ini, akan kekal biru dan Pengerusi BN ini akan kekal menjadi Ketua Menteri kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera BN supaya mempergiat gerak kerja kempen secara menyeluruh bagi memastikan DUN Klebang terus menjadi antara kerusi yang disumbangkan kepada parti dalam usaha membentuk Kerajaan Negeri selepas hari pengundian pada 14 November ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


