
PRN MELAKA: RAIS SEDIA BUKA LALUAN USAHAWAN SUNGAI UDANG PERLUAS PERNIAGAAN
SUNGAI UDANG 1 November – Keperluan mendapatkan mesin dan peralatan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran antara isu yang diberi perhatian calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin dalam usaha membantu perusahaan tempatan mengembangkan perniagaan.
Menerusi sesi ziarah di sekitar Sungai Udang, beliau mengambil kesempatan bertemu pengusaha tempatan bagi melihat sendiri operasi perniagaan, selain mendengar cabaran serta mengenal pasti bentuk sokongan yang diperlukan untuk membawa perusahaan mereka ke tahap lebih tinggi.
Antara perkara dibangkitkan ialah keperluan kemudahan mesin dan ruang kerja yang lebih sesuai bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, selain mendapatkan sokongan agensi berkaitan khususnya untuk usahawan Bumiputera.
Rais berkata, pengusaha tempatan yang berupaya menghasilkan produk berkualiti perlu diberikan perhatian dan akses kepada bantuan bersesuaian supaya potensi perniagaan mereka dapat dikembangkan ke pasaran lebih luas.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk membawa pengusaha berkenaan bertemu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi membincangkan keperluan serta bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan sekiranya diberi mandat.
“Dengan adanya bantuan, saya yakin dan percaya mereka akan boleh bergerak lebih jauh,” katanya kepada pemberita pada sesi ziarah kasih usahawan di sebuah perusahaan tempatan pembuatan alat muzik di Kampung Bertam Hulu, di sini, hari ini.
Sementara itu, rakan kongsi perusahaan berkenaan, Muhammad Firdaus Paizul, 29, berkata, kunjungan itu memberi peluang kepada pihaknya berkongsi cabaran serta keperluan perniagaan yang diusahakan sejak 2021.
Menurutnya, perusahaan berkenaan memerlukan sokongan khususnya dari segi penyediaan mesin dan ruang kerja bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran serta mengembangkan operasi.
“Alhamdulillah, buat pertama kalinya kami mendapat perhatian sewajarnya. Kehadiran Datuk Rais membolehkan beliau melihat sendiri bagaimana kami menjalankan pengeluaran dan menghasilkan produk sendiri.
“Dengan bantuan yang diperlukan, kami dapat melihat hala tuju perniagaan dan merancang untuk berkembang lebih besar selepas ini,” katanya.
Muhammad Firdaus turut berharap perhatian terhadap keperluan pengusaha tempatan dapat membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil untuk meningkatkan kapasiti operasi, memperluas pasaran dan berkembang sebagai perniagaan yang lebih berdaya saing.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


