
RAMAI PENYOKONG BELUM BERERTI MENANG – AB RAUF
TELOK MAS 1 November – Kehadiran ribuan penyokong pada hari penamaan calon bukan ukuran sebenar kekuatan sesebuah parti, sebaliknya sokongan pengundi atas pagar perlu dan pengundi baharu perlu terus diberi perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah kehadiran kira-kira 4,000 penyokong BN ketika penamaan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas tidak boleh dijadikan gambaran keseluruhan sokongan memandangkan jumlah pengundi di kawasan berkenaan mencecah kira-kira 29,000 orang.
Katanya, parti perlu memberi tumpuan kepada usaha mendekati lebih ramai pengundi yang belum menentukan pilihan bagi mendapatkan mandat rakyat.
“Jadi apa yang kita kena buat ialah menarik lebih ramai pengundi atas pagar dan pengundi baharu ini supaya bersama-sama dalam perjalanan kita.
“Kita jangan rasa kita kuat kerana mungkin ada kelemahan yang pihak lawan boleh kesan dan gunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika meninjau persediaan jentera pilihan raya BN DUN Telok Mas, di Bukit Punggor, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, gerak kerja kempen perlu dilaksanakan secara lebih sistematik dan tersusun, termasuk mengambil kira kemunculan kelompok pengundi baharu serta mereka yang pertama kali menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Perubahan landskap pengundi memerlukan jentera parti tidak terlalu selesa dengan sokongan sedia ada, sebaliknya terus memperluas pendekatan mendekati masyarakat.
“Suka juga untuk saya mengingatkan jentera supaya tidak memandang ringan keupayaan pihak lawan dalam mengenal pasti kelemahan sesuatu parti sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


