PRN MELAKA: 70 TAHUN SETIA KAWAN, AB RAUF MAHU MCA MENANG DI KLEBANG

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KLEBANG 1 November – Sejarah kerjasama lebih 70 tahun antara UMNO dan MCA perlu terus dipertahankan menerusi semangat setia kawan, termasuk dengan memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wira Lim Ban Hong di DUN Klebang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, hubungan kedua-dua parti itu mempunyai sejarah panjang dalam perjuangan membina negara sejak sebelum kemerdekaan yang tidak seharusnya dilupakan.

“Kita nak calon kita, Datuk Wira Lim Ban Hong, calon nombor empat DUN Klebang menang. Pangkah! Jangan fikir-fikir dua kali.

“Sejarah MCA dengan UMNO ini 70 tahun. Bukan sejarah 70 hari. Ini bukan kari kambing 40 hari. Selama 70 tahun di dalamnya kita bina Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada kunjungan ke Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Bukit Rambai di Taman Rambai Ria, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin dan calon BN DUN Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.

Menurutnya, walaupun MCA berdepan cabaran yang menjejaskan kekuatan parti itu, semangat setia kawan antara kedua-dua parti perlu terus menjadi asas kepada perjuangan bersama.

“Kita bina Malaysia ini bersama sejak sekian lama tetapi apakah daya, kekuatan MCA ini disebabkan pengaruh-pengaruh perkauman parti lain menyebabkannya terhakis.

“Tapi kita kena bangkit atas semangat setia kawan, membina Malaysia pada peringkat awal kemerdekaan bersama MCA.

“Kita tak lupa. Kita bukan kacang yang lupakan kulit, kita bukan orang yang tidak mengenal budi. Kita bangsa yang mengenang budi,” katanya.

Ab Rauf turut mengingatkan jentera BN supaya memastikan kemenangan MCA di Klebang memandangkan parti itu merupakan antara 23 kerusi yang ditandingi BN pada PRN kali ini.

“Menang MCA, menanglah kerajaan ini. Pastikan peti undi ini diterjemahkan untuk Lim Ban Hong menang di Klebang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

413
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: REKOD LIMA TAHUN PENTADBIRAN MODAL KEMPEN BN
Next post PRN MELAKA: JANGAN SABOTAJ PARTI, TOK RAUF INGATKAN JENTERA BN