
RM200 JUTA PERKASA PENDIDIKAN, 140,000 ANAK MELAKA TERIMA MANFAAT
AYER KEROH 1 November – Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM200 juta dalam tempoh tiga tahun bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 140,000 anak Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaburan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor pendidikan, selain memastikan generasi muda mendapat peluang membina masa depan lebih baik.
“Pembangunan pendidikan tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik, malah turut memberi penekanan terhadap pembentukan akhlak, disiplin dan hala tuju kehidupan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan Ilmu, Akhlak, Sahsiah (RIASAH) 2026 di Kem Permata Resort, di sini, pada 30 Oktober lalu.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Salhah Salleh.
Hadir sama, Naib Canselor UNIMEL Prof. Datuk Ts. Dr. DHc. Abdul Khalil Shawkataly; Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Nordahlela Md Nasir serta barisan pengurusan tertinggi UNIMEL.
Mengulas pencapaian pendidikan negeri, Ab Rauf berkata, seramai 473 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, termasuk 12 calon yang meraih keputusan straight A+.
Katanya, pencapaian itu turut menyumbang kepada peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) daripada 4.43 pada 2024 kepada 4.24 pada 2025.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata kerana aspek sahsiah dan disiplin turut memainkan peranan penting dalam membentuk individu berkualiti.
“Kerajaan Negeri bukan sekadar mahu melihat lebih ramai pelajar memperoleh keputusan peperiksaan cemerlang, tetapi kita mahu melihat anak-anak Melaka bukan sahaja hebat dalam pelajaran, malah hebat akhlaknya, kuat disiplinnya dan jelas hala tuju hidupnya,” katanya.
Sehubungan itu, ujar beliau, penganjuran RIASAH selama dua hari yang melibatkan 240 pelajar Tingkatan Dua, Tiga dan Empat daripada 12 sekolah di seluruh negeri menjadi antara usaha membentuk keyakinan diri serta menggilap potensi generasi muda.
Beliau berkata, setiap anak Melaka mempunyai kelebihan dan potensi tersendiri untuk berjaya dalam pelbagai bidang termasuk akademik, sukan, seni, kemahiran dan teknologi.
“Kita tidak mahu anak-anak pulang membawa sijil penyertaan, tetapi membawa satu kesedaran bahawa setiap anak Melaka ada nilainya, setiap anak Melaka mempunyai peluang untuk berubah dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


