
PRN MELAKA: REKOD LIMA TAHUN PENTADBIRAN MODAL KEMPEN BN
TELOK MAS 1 November – Rekod pencapaian dan khidmat kepada rakyat sepanjang lima tahun mentadbir Melaka menjadi taruhan utama Barisan Nasional (BN) dalam meraih kepercayaan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Negeri Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, jentera parti perlu memberi tumpuan kepada penerangan mengenai hasil kerja Kerajaan Negeri serta manfaat yang telah dinikmati rakyat berbanding menggunakan pendekatan menyerang atau memburukkan pihak lawan.
Katanya, BN mahu membawa pendekatan kempen positif dan berhemah tanpa mengembangkan politik kebencian, hasutan mahupun serangan peribadi sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari itu.
“Melaka tidak mengembangkan politik kebencian, politik hasutan atau politik jahat. Biar orang lain buat, kita hanya bercerita tentang apa yang telah kita laksanakan kepada rakyat dan apa yang rakyat dapat dalam kita menguruskan negeri ini selama lima tahun.
“Kehadiran ribuan penyokong pada majlis pengumuman calon semalam memberikan gambaran positif terhadap semangat jentera, namun ia tidak boleh dijadikan ukuran bahawa kemenangan sudah berada dalam genggaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persediaan jentera pilihan raya di Bilik Gerakan DUN Telok Mas, Bukit Punggor, di sini, hari ini.
Hadir sama, Calon BN N23 DUN Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, seluruh jentera terus memperkukuh gerak kerja, menyusun strategi dan meningkatkan usaha mendekati pengundi bagi memastikan persiapan menghadapi PRN yang dijadualkan pada 14 November ini berada pada tahap terbaik.
Katanya, pendekatan turun padang dan menyantuni masyarakat juga tidak seharusnya bermusim atau hanya dilakukan ketika tempoh berkempen selama 14 hari, sebaliknya perlu menjadi budaya dalam perkhidmatan seorang wakil rakyat.
“Jawatan kita sebagai wakil rakyat ini untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat, bukannya rakyat berkhidmat untuk kita.
“Keyakinan pengundi perlu dibina menerusi hasil kerja yang boleh dirasai masyarakat dan bukannya sekadar janji atau retorik politik menjelang pilihan raya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


