
MELAKA PERKUKUH KEDUDUKAN SEBAGAI HAB AUTOMOTIF ASIA TENGGARA
GADEK 2 November – Pengeluaran dua model kenderaan hibrid terbaharu Great Wall Motor (GWM) di Pegoh dijangka memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab industri automotif serantau, sekali gus membuka peluang memenuhi permintaan pasaran Asia Tenggara.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan itu membuktikan keupayaan Melaka dalam menarik pelaburan berteknologi tinggi, selain memperkukuh kepakaran tempatan dalam industri automotif.
Menurutnya, pengembangan operasi GWM di Melaka turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi kawasan perindustrian automotif di Pegoh yang terus berkembang.
“Pengeluaran dua model GWM ini menunjukkan satu kemajuan yang baik di peringkat pasaran ASEAN. Oleh itu, Kerajaan Negeri menyambut baik perkembangan pasaran kenderaan hibrid plug-in (PHEV) ini.
“Selain itu, kilang ini juga berjaya mengetengahkan bukan sahaja kepakaran teknologi yang ada di Melaka, tetapi juga tenaga kerja tempatan yang mampu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi serta memenuhi keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Roll-Off Pemasangan Dua Model GWM WEY G9 HEV dan EC 15S HEV di Kawasan Perindustrian HICOM Pegoh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Md Azhan Samat; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar dan Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Berhad (EPMB), Hamidon Abdullah.
Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberikan galakan serta memastikan penyelarasan antara agensi berkaitan berjalan lancar bagi menyokong perkembangan industri kenderaan elektrik dan hibrid di Melaka.
Katanya, usaha itu turut merangkumi penyediaan tenaga kerja berkualiti bagi memenuhi keperluan industri automotif yang semakin berkembang.
“Kerajaan Negeri akan memberikan galakan dan koordinasi yang baik bagi memastikan perjalanan industri automotif ini berjalan lancar tanpa sebarang halangan.
“Kita juga akan membantu membekalkan tenaga kerja berkualiti bagi memenuhi keperluan industri automotif di Melaka,” katanya.
Jelas beliau, sektor perkhidmatan yang menyumbang RM50.3 bilion kepada ekonomi negeri turut merangkumi sumbangan daripada aktiviti pemasangan kenderaan, sekali gus memperlihatkan peranan industri automotif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


