ISU DALAMAN BN TANGGA BATU SELESAI SECARA KEKELUARGAAN – RAIS

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SUNGAI UDANG 2 November – Isu dalaman Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tangga Batu yang sebelum ini mencetuskan dakwaan penolakan calon kini disifatkan selesai secara kekeluargaan, dengan seluruh jentera memberi tumpuan kepada usaha menggerakkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, semangat kekeluargaan menjadi asas penyatuan semula jentera parti bagi memastikan semua pihak mengetepikan perbezaan dan bergerak seiring mendapatkan mandat rakyat pada 14 November ini.

“Isu dalaman sudah selesai lama sebab apa? Seperti saya katakan tadi, semangat BN dalam satu keluarga, cuit paha kiri, paha kanan terasa.

“Jadi semua komited nak menangkan dan yang paling penting nak memastikan BN itu pada 14 November, insya-Allah, kembali mendapat mandat daripada rakyat Negeri Melaka,” katanya merangkap Timbalan Pengerusi BN Melaka.

Beliau yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang berkata demikian selepas menyempurnakan gimik Pelancaran Pemasangan Bendera Jentera Pemuda BN Parlimen Tangga Batu di Pusat Gerakan Parlimen Tangga Batu, di sini, malam tadi.

Menurut Rais, kehadiran Pengerusi MCA Melaka merangkap calon BN DUN Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong serta calon BN DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dalam program berkenaan memperlihatkan komitmen bersama untuk menggerakkan kempen parti.

“Alhamdulillah, saya ada bersama dengan Pengerusi MCA Negeri Melaka di sini, Datuk Wira Lim Ban Hong dan kita dapat lihat beliau ada bersama kita, memberikan komitmen penuh.

“Ini adalah penggal keempat Datuk Wira Lim Ban Hong bertanding di Klebang. Seperti yang kita sarankan, kita tak perlu politik yang memburuk-burukkan mana-mana pihak, kita ketengahkan kehebatan yang selama ini Datuk Lim jaga orang Klebang dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Rais turut merayu pengundi Pantai Kundor supaya memberikan peluang kepada Tuminah yang bertanding buat kali kedua untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

“Bersama saya juga Datuk Tuminah, calon BN Pantai Kundor dan ini penggal kedua beliau bertanding.

“Saya memohon kepada orang Pantai Kundor, bagi ruang dan peluang kepada Datuk Tuminah untuk beliau tonjolkan lagi apa yang beliau mampu buat untuk orang Pantai Kundor.

“Jadi secara dalamannya, dalam semangat kekeluargaan kita telah selesaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post PENGUNDI USIA 80 TAHUN BERSEMANGAT SARAPAN BERSAMA TOK RAUF 
Next post NILAI BERDASARKAN PRESTASI, TERUSKAN KESINAMBUNGAN KEHARMONIAN DI MELAKA