
PENGUNDI USIA 80 TAHUN BERSEMANGAT SARAPAN BERSAMA TOK RAUF
TABOH NANING 2 November – Peluang untuk bersarapan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh menceriakan Fauziah Zamzam, 80.
Fauziah yang juga antara pengundi tertua dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning ditemani menantu Ahmad Yusof, 67, dan anak perempuannya Zaitun Abu Bakar, 62, hadir semata-mata mahu bersarapan bersama Ab Rauf di Warung Cik Ros Taman Sri Naning, di sini, hari ini.
Ahmad berkata, pagi ini ibu mentuanya kelihatan lebih bersemangat dan ceria kerana tidak sabar untuk berjumpa dengan Ab Rauf yang juga calon nombor 2 mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN N02 Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
“Biasanya selepas subuh mak akan berehat atau berbaring sahaja, tetapi hari ini dia bersiap lebih awal selepas mendapat tahu Tok Rauf akan datang bersarapan di Taboh Naning.
“Saya bersama isteri tunaikan permintaan mak, dapat berjumpa dan bergambar dengan Tok Rauf amat menggembirakan ibu mentua saya,” katanya ketika ditemui ada program berkenaan.
Hadir sama calon nombor 2 kerusi N05 DUN Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin, wakil parti komponen dan rakan strategik BN bagi PRN Melaka ke16.
Sementara itu Fauziah meluahkan meluahkan rasa syukur kerana dapat bersarapan bersama Ab Rauf pada program berkenaan.
“Meskipun sudah berusia saya hadir sebagai tanda sokongan kepada Tok Rauf, saya doakan beliau berjaya pada PRN kali ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


