MELAKA SUDAH SEDIA 195 STESEN PENGECAS EV

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

GADEK 2 November – Sebanyak 195 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di 95 lokasi telah disediakan di seluruh Melaka setakat ini, dengan 10 unit tambahan dirancang untuk dipasang menjelang akhir tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, penambahan kemudahan itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri memperkukuh infrastruktur sokongan bagi menghadapi perkembangan industri automotif dan keperluan mobiliti masa hadapan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menyasarkan penyediaan 300 unit pengecas EV menjelang 2027, selaras dengan usaha membangunkan ekosistem industri automotif yang lebih menyeluruh di Melaka.

“Di Melaka sehingga kini terdapat 195 stesen pengecas elektrik di 95 lokasi, dengan 10 unit tambahan dirancang untuk dipasang menjelang akhir 2026.

“Ini antara usaha Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran penyediaan 300 unit pengecasan EV menjelang 2027, selain menyambut baik perkembangan industri automotif termasuk pemasangan dua model terbaharu GWM (Great Wall Motor),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Roll-Off Pemasangan Dua Model GWM WEY G9 HEV dan EC 15S HEV di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Md Azhan Samat; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar dan Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Berhad (EPMB), Hamidon Abdullah.

Ab Rauf berkata, penyediaan infrastruktur berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan Melaka bersedia menerima pelaburan baharu, selain menyediakan tenaga kerja berkemahiran dan ekosistem yang kondusif kepada perkembangan industri.

Katanya, usaha itu penting bagi membolehkan sektor automotif terus berkembang serta membuka ruang kepada penerapan teknologi dan inovasi baharu.

“Justeru, kami berharap kerjasama antara EPMB dan GWM akan terus diperkukuh bagi membina kejayaan lebih besar di Melaka, sekali gus meningkatkan potensi negeri sebagai hab pemasangan automotif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

580
Kongsi :
Previous post NILAI BERDASARKAN PRESTASI, TERUSKAN KESINAMBUNGAN KEHARMONIAN DI MELAKA