
PRN MELAKA: KEROSAKAN BAHAN KEMPEN ANTARA TUJUH KES DISIASAT
AYER KEROH 3 November – Polis menerima lapan laporan dan membuka tujuh kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 sepanjang 1 dan 2 November.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan itu membabitkan kerosakan serta kehilangan bahan kempen, dakwaan pengagihan bakul makanan dan wang tunai serta kenyataan di media sosial.
Menurutnya, kejadian membabitkan bahan kempen dilaporkan di Ayer Keroh, Rembia, Ayer Limau, Paya Rumput dan Jalan Industri Kelemak, Alor Gajah.
“Antaranya ialah kerosakan dan kehilangan 22 helai bendera sebuah parti di Ayer Keroh serta kira-kira 150 batang bendera yang dipercayai dipatahkan di Rembia.
“Bahan kempen di lokasi lain pula dilaporkan dicabut, dikoyakkan, diturunkan, dibakar dan dimusnahkan, termasuk beberapa batang bendera yang dipatahkan serta dicampak ke dalam longkang di Jalan Industri Kelemak.
“Siasatan sedang giat dijalankan oleh JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) Melaka untuk kenal pasti individu yang terlibat dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes di Ayer Keroh disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala kes di Rembia, Ayer Limau serta Jalan Industri Kelemak disiasat mengikut Seksyen 427 kanun sama. Kes di Paya Rumput masih dalam siasatan.
Menurutnya satu lagi laporan membabitkan kenyataan di media sosial berkaitan permintaan supaya minit pengampunan Datuk Seri Najib Razak didedahkan, dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ketika kempen memasuki hari keempat hari ini, orang ramai diminta supaya bertenang, bertindak mengikut lunas undang-undang dan tidak membuat spekulasi mengenai insiden yang dilaporkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


