PRN MELAKA: BUKAN POPULARITI, PRESTASI JADI UKURAN – HELMY

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DUYONG 3 November – Populariti dan pengaruh di media sosial bukan jaminan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, sebaliknya prestasi serta penilaian rakyat terhadap calon menjadi antara faktor utama yang menentukan sokongan pengundi.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, jumlah pengikut dan pengaruh seseorang calon di platform media sosial tidak semestinya mencerminkan penerimaan sebenar masyarakat ketika hari pengundian.

“Menjadi nombor satu atau dua (popular) di media sosial perkara itu tidak diambil kira di atas kertas undi.

“Yang penting sebenarnya ialah bagaimana rakyat di kawasan itu sendiri membuat penilaian terhadap calon,” katanya.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) nombor dua berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai program turun padang dan ziarah penduduk di Bukit Serindit serta Kampung Semabok Dalam, di sini, pada Isnin.

Mengulas baki 12 hari tempoh berkempen, Mohd Noor Helmy berkata, beliau akan memanfaatkan tempoh berkenaan dengan meneruskan aktiviti turun padang, termasuk mengunjungi semula penduduk yang pernah diziarahi sebelum ini.

Katanya, kunjungan semula itu penting bagi mendapatkan perkembangan terkini selain memberi ruang kepada penduduk menyuarakan keperluan dan permasalahan yang mungkin timbul selepas kunjungan terdahulu.

“Ziarah kasih ini diadakan secara santai kerana kebanyakan kita sudah pergi dan santuni sebelum ini. Mungkin sebelum ini tiada masalah tetapi hari ini ada perkara ingin disuarakan.

“Pendekatan turun padang ini penting bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada penduduk selain memahami aspirasi mereka yang boleh diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang lima tahun pentadbiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, pelbagai usaha pembangunan negeri turut disertai inisiatif memenuhi keperluan rakyat.

Menurutnya, perhatian bukan sahaja diberikan kepada aspek pembangunan dan kemajuan negeri, malah kebajikan serta kesejahteraan penduduk turut menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post TOK RAUF TEKAD PERTAHAN MARUAH BANGSA, WARISAN PERJUANGAN UMNO DITERUSKAN
Next post PRN MELAKA: KEROSAKAN BAHAN KEMPEN ANTARA TUJUH KES DISIASAT