
PRN MELAKA: NADARAJAH SANTUNI WARGA EMAS, DENGAR SUARA PENDUDUK GADEK
GADEK 3 November – Kunjungan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.07 Gadek, Nadarajah ke Kampung Hilir Paya Datuk bukan sekadar menyantuni penduduk, malah membuka ruang untuk mendengar sendiri keperluan golongan warga emas di kawasan berkenaan.
Menerusi program tinjauan mesra atau walkabout yang bermula jam 9 pagi, beliau yang juga calon nombor empat DUN Gadek bersama jentera kempen mengunjungi kediaman penduduk sekitar kampung berkenaan dengan titik pertemuan di Surau Kampung Hilir.
Antara yang disantuni ialah Latifah Rauf, yang bakal mencecah usia 70 tahun dan menyambut baik kunjungan rombongan berkenaan ke kediamannya.
Menurut Latifah, kunjungan itu memberi peluang kepada penduduk untuk beramah mesra dengan calon selain mengingatkan masyarakat supaya keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Dia yang mengakui sudah lama menyokong BN berkata, kehadiran calon tunggal MIC itu memberi ruang kepadanya berkongsi pengalaman serta keperluan sebagai warga emas.
Dalam pertemuan itu, warga emas itu turut berkongsi mengenai bantuan kerusi roda yang diterimanya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira lima hingga enam bulan lalu, selain turut menerima bantuan tongkat sekitar dua hingga tiga tahun lalu oleh wakil rakyat terdahulu.
Mengulas harapannya menjelang PRN kali ini, Latifah berharap wakil rakyat yang dipilih kelak terus memberi perhatian kepada kebajikan warga emas, khususnya dalam memastikan golongan berkenaan mendapat bantuan bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Saya mendoakan agar BN memperoleh kemenangan dan Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh terus diberi mandat untuk menerajui Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


