
KHIDMAT TOK HAMEED TAK KIRA PARTI POLITIK, PERBEZAAN AGAMA
AYER LIMAU 2 November – Atas dasar mahu menunaikan amanah, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N03 Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer membantu serta menyantuni rakyat tanpa batasan fahaman polik atau agama.
Katanya, menyantuni ahli rakan strategik Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS di DUN Ayer Limau juga sudah lama dijadikan amalan dan bukan baru dimulakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Katanya, menerusi falsafah Poghut dia membantu semua penduduk di DUN berkenaan yang memerlukan bantuan atau sedang menghadapi kesukaran hidup.
“Saya berkhidmat untuk semua, tanpa batasan fahaman politik atau agama, siapa dalam kesusahan saya bantu untuk ringankan beban atau permudahkan urusan.
“Semua ini dapat dilihat apabila adanya penganjuran majlis tertentu atau program gotong-royong, meskipun berbeza fahaman politik penduduk bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan apa juga usaha memberikan manfaat untuk semua.
“Begitu juga dengan institusi masjid, apabila masa untuk beribadat kita lakukan bersama-sama, apabila bercakap hal politik itu masing-masing,” katanya.
Beliau yang juga calon nombor 2 bagi kerusi DUN Ayer Limau berkata demikian selepas melakukan ziarah kasih ke 13 kediaman di Kampung Sungai Siput, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Hameed berkata, menerusi falsafah Poghut beliau mahu mewujudkan perasaan kekitaan atau sebuah keluarga besar yang mengambil cakna antara satu sama lain di DUN Ayer Limau.
“Alhamdulilah sekarang kita sudah ada satu kerjasama politik yang formal dengan PN, jadi ia melancarkan lagi usaha menjaga rakyat. Apa yang dilakukan bukan lakonan, semenangnya kita sudah lama bekerjasama demi rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


