Naik taraf tangki oksigen Hospital Melaka dimulakan hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BUKIT PALAH 26 Julai – Kerja-kerja memasang regulator dan menaik taraf sistem paip tangki oksigen di Hospital Melaka dilakukan bermula hari ini bagi mengatasi kekurangan atau tekanan bekalan oksigen.

Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman berkata, kekurangan oksigen berlaku disebabkan peningkatan pesakit yang dimasukkan di hospital itu menyebabkan penggunaan gas itu meningkat lebih dua kali ganda.

“Perkara ini adalah disebabkan oleh bertambahnya perkhidmatan kritikal COVID-19 di Hospital Melaka yang merupakan satu-satunya hospital hibrid di negeri ini bagi menempatkan pesakit COVID-19 kategori tiga hingga lima.

“Pertambahan pesakit menyebabkan kadar penggunaan oksigen telah melebihi tahap kapasiti asal iaitu meningkat lebih dua kali ganda daripada penggunaan sebelum ini.

“Keadaan ini menyebabkan sistem penghantaran gas perubatan berpusat mengalami isu tekanan rendah yang boleh menyebabkan pengagihan oksigen kepada pesakit-pesakit agak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat diadakan di Hospital Melaka, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri itu berkata, kerja pembaikan dilakukan menggunakan tangki sama yang dipecahkan menjadi dua bahagian supaya mampu meningkatkan kadar tekanan oksigen dan ia dijangka mengambil masa kira-kira empat minggu untuk disiapkan.

Rahmad berkata, sebagai tindakan awal pihak hospital telah mengimbangkan kadar penggunaan di kawasan terjejas oksigen dengan mengalihkan pesakit yang menggunakan kadar oksigen tinggi secara seimbang ke seluruh wad-wad di hospital Melaka.

“Di samping itu, proses penyumberluaran (outsourcing) pesakit yang menggunakan oksigen hospital-hospital swasta juga telah dimulakan bagi mengurangkan beban bekalan oksigen di hospital Melaka.

“Malah penggunaan dewan-dewan bedah di hospital Jasin dan hospital Alor Gajah juga telah dioptimumkan untuk mengurangkan bebanan penggunaan oksigen di hospital ini.

“Hospital Melaka juga telah menerima peruntukan untuk menaik taraf sistem gas perubatan berpusat, malah kita merancang memasang lagi tangki baharu sekiranya kerja-kerja membaik pulih tekanan oksigen masih tidak mencukupi,” katanya.

Semalam, MHI melaporkan bekalan atau tekanan oksigen untuk kegunaan pesakit di wad kecemasan termasuk unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka didakwa berada di bawah paras kritikal ketika ini.

Menurut sumber, kekurangan tekanan ‘wall oxygen’ di hospital berkenaan baharu berlaku sejak sejak minggu lalu disebabkan kemasukan terlalu banyak pesakit melebih had biasa.

Perkara itu menyebabkan tekanan oksigen terlalu rendah iaitu pada tahap 2.0 bar yang mana ia sebenarnya adalah di bawah paras kritikal berikutan terlalu ramai pesakit bergantung kepada bantuan oksigen.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1073
Kongsi :
Previous post Syed Saddiq selesai bayar baki jaminan RM250,000
Next post Kes mangsa obesiti perlu bantuan bomba meningkat di Melaka
Ubah saiz-+=