Kes mangsa obesiti perlu bantuan bomba meningkat di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

Oleh Mohamad Fazrul Abdul Majid & Nur Iliyana Zainis Zainal

AYER KEROH 26 Julai – Khidmat bantuan mengangkat pesakit atau mayat obesiti menunjukkan peningkatan di negeri ini.

Dalam bulan ini saja, sekurang-kurangnya empat kes bantuan seumpamanya direkodkan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, sejak Januari sehingga Julai tahun ini pihaknya tmenerima tujuh panggilan melibatkan mangsa obesiti.

Jumlah itu, jelasnya, sedikit meningkat berbanding lima kes yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

ZULKHAIRANI Ramli, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, JBPM Melaka. (FOTO: Nur Iliyana Zainis Zainal)

Beliau berkata, antara bantuan membabitkan mangsa obesiti termasuklah tujuan kecemasan iaitu penghantaran ke hospital, khidmat khas bagi mengebumikan jenazah obesiti dan bantuan mengeluarkan mangsa atau mayat obesiti di premis.

“Untuk kesemua kes ini, kita akan menggunakan teknik khas untuk mengangkat pesakit atau mayat mangsa obesiti bergantung kepada situasi mangsa.

“Jika mangsa boleh bergerak, kita akan menggunakan kerusi roda dan seterusnya dibawa dengan lori angkut yang mempunyai peralatan hidraulik.

“Untuk jenazah pula, kita akan menggunakan peralatan menahan beban dan untuk proses pengebumian kita menggunakan kaedah ‘lowering’ untuk membawa jenazah masuk ke dalam liang lahad,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bagaimanapun, Zulkhairani mengakui berdepan cabaran besar menguruskan mangsa obesiti berikutan negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.

Atas faktor itu, katanya, kesemua petugas yang terlibat diwajibkan memakai pakaian pelindung diri (PPE) walau apa jua situasi.

“Kebiasaannya seramai lapan hingga 11 anggota akan digerakkan bagi kes-kes seperti ini.

“Selesai sahaja khidmat bantuan itu, kita akan terus menjalankan sanitasi di kawasan berkenaan dan kemudian kita akan disinfeksi kenderaan dan petugas yang terlibat,” ujarnya.

Menurut Zulkhairani, mangsa obesiti yang pernah diuruskan ialah dalam lingkungan umur 30 hingga 60 tahun dengan berat 130 hingga seberat 230 kilogram (kg).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1090
Kongsi :
Previous post Naik taraf tangki oksigen Hospital Melaka dimulakan hari ini
Next post Bomba Melaka siap siaga hadapi musim kemarau
Ubah saiz-+=