Bomba Melaka siap siaga hadapi musim kemarau
Oleh Mohamad Fazrul Abdul Majid & Nur Iliyana Zainis Zainal
AYER KEROH 26 Julai – Cuaca panas dan kering yang dijangka berlaku sehingga pertengahan September depan membuatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka bersiap siaga lebih awal.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, setakat ini sebanyak 21 jentera ‘fire rescue tender’ berserta empat lori tangki air yang mampu menampung 70,000 liter air telah disediakan untuk menghadapi sebarang ancaman kebakaran hutan dan sebagainya.
Selain itu, pihaknya juga akan memantau lokasi panas (hotspot) kebakaran hutan di seluruh negeri.
“Di Melaka kesemua 10 balai bomba dan jentera-jentera yang kita ada sentiasa bersedia sekiranya berlaku kes-kes kebakaran hutan sepanjang musim kering nanti.
“Pada masa sama, kita juga sentiasa memeriksa dan memastikan peralatan yang kita ada seperti ‘forest fire hose’, pam angkut untuk pengepaman air terbuka dan segala alatan lain dipersiapkan pada ketika ini.
“Untuk kes-kes kebakaran terbuka, selain peralatan apa yang paling penting ialah kebijaksanaan kita mengkoordinasi strategi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, sejak berkhidmat di Melaka, kes kebakaran hutan yang paling mencabar pernah dihadapi pasukannya ialah di Merlimau awal tahun ini yang mengambil masa enam hari untuk dipadamkan.
Sepanjang tempoh itu, ramai anggotanya terpaksa ‘berkampung’ di kawasan itu bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.
“Hasil siasatan kita, selain cuaca panas, kebakaran terbuka juga berlaku akibat aktiviti perladangan yang mana pekebun membersihkan kebun mereka dan membakar sisa-sisa tanaman.
“Jadi, kita menasihatkan pekebun agar elakkan daripada melakukan sebarang pembakaran terbuka sepanjang tempoh kemarau kerana kita tahu faktor kemerebakannya boleh jadi sangat dahsyat sehingga sukar dikawal.
“Situasi itu bertambah sukar sekiranya kawasan itu tidak mempunyai sumber air, terletak di kawasan terpencil dan paling mencabar apabila berlaku di tanah gambut,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.