Tergamam helikopter mendarat depan mata

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat
HELIKOPTER dinaiki ahli perniagaan berlepas di kawasan lapang di Kampung Londang, Masjid Tanah dekat Alor Gajah.

TANJUNG BIDARA 27 Julai – Sebuah helikopter Agusta dinaiki seorang ahli perniagaan berstatus Datuk yang mendarat di Kampung Londang, di sini hari ini benar-benar membuatkan penduduk kampung teruja.

Mereka terpegun menyaksikan helikopter berkenaan mendarat di kawasan lapang berhampiran sebuah inap desa pada jam 9 pagi sebelum berlepas kira-kira satu jam kemudian.

Mereka gembira menyaksikan helikopter berkenaan dari dekat di kawasan lapang berhampiran sebuah kediaman dua tingkat milik penduduk kampung itu yang dijadikan sebagai inap desa.

Ketika menjalani tugas harian masing-masing, mereka dikejutkan dengan deruman enjin helikopter berkenaan yang terbang rendah dan berlegar dua kali di ruang angkasa sebelum mendarat kira-kira 150 meter dari inap desa tersebut.

Bagaimanapun, hanya beberapa penduduk yang secara kebetulan berada hampir dengan kawasan itu sempat menyaksikan helikopter berkenaan mendarat pada jam 9 pagi sebelum kawasan terbabit dipenuhi orang ramai yang menyedari ada helikopter mendarat.

Sejurus mendarat, ahli perniagaan terbabit dikatakan memasuki inap desa yang menyediakan kolam renang itu untuk bertemu anggota keluarganya yang sudah berada di kediaman dua tingkat berkenaan sejak Sabtu lalu.

Penduduk, Ramli Naaman, 65, yang menyediakan makanan dan minuman untuk tetamu di inap desa itu berkata, beliau difahamkan oleh tetamu berkenaan, ahli perniagaan terbabit hanya hadir untuk menikmati sarapan bersama anggota keluarganya sebelum terpaksa terbang kembali ke Kuala Lumpur.

“Saya sempat berbual dengan Datuk itu dan beliau menyatakan tidak sempat berada lama di sini kerana amat sibuk dengan tugasnya,” katanya ketika ditemui di kawasan lapang itu.

Ketika ahli perniagaan terbabit berjalan dari inap desa ke helikopter, beliau memberi kebenaran kepada wakil Melaka Hari Ini merakamkan gambar helikopter itu tetapi enggan namanya disiarkan.

Berdasarkan laman sesawang syarikat berkenaan, ahli perniagaan terbabit adalah Pengarah Pembangunan Perniagaan syarikat itu yang terbabit dalam perkhidmatan membawa pekerja ke pelantar minyak, membawa penumpang orang kenamaan (VIP), tinjauan dari udara kawasan pembalakan, pemeriksaan dari udara paip dan pengangkutan kecemasan pesakit.

“Alhamdulillah, saya sempat menikmati minuman dan makanan bersama anggota keluarga tetapi saya tidak dapat berada lama di sini kerana ada banyak tugas,” katanya sebelum mengucapkan terima kasih dan melangkah masuk ke dalam helikopter.

Penduduk, Hussain Rashid, 68, berkata beliau teruja menyaksikan helikopter secara dekat kerana sebelum ini tidak pernah mendapat peluang itu.

“Inilah kali pertama saya melihat helikopter dari dekat, selain melihat ia berlepas dan pengalaman ini sukar untuk saya dapat pada masa akan datang,” katanya.

Views:

741
Kongsi :
Previous post “Penjual, tolong letak tanda harga”
Next post 15 masjid terpilih gunakan inovasi sangkar penyembelihan mudah alih
Ubah saiz-+=