SOP teratur, jadi kayu ukur PRU 15 – Rafiq

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

PAYA RUMPUT 20 Nov – Calon Perikatan Nasional (PN) Telok Mas, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian hari ini.

Beliau yang ditemui selepas membuang undi berkata prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat teratur dan cukup baik.

“Saya melihat SOP di sini cukup baik dengan langkah-langkah yang diambil SPR dan saya kira ini merupakan kayu ukur untuk SPR dan pihak kerajaan dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) nanti.

“Syabas kepada SPR di atas kendalian yang teratur dan selamat, syukur semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Terdahulu, Mohd Rafiq selesai membuang undi di Kompleks Sukan Komuniti, Krubong bagi Pilihan Raya Negeri  Melaka, kira-kira jam 10.05 pagi tadi.

Beliau yang juga Pengerusi PN Melaka, hadir bersama isteri, Datin Nur Farihin Farouk tiba di pusat mengundi berkenaan pada jam 9.15 pagi.

Beliau dilihat keluar daripada pusat pengundian itu 45 minit kemudian.

Pada PRN Melaka ini, Mohd Rafiq berdepan pertembungan empat penjuru di DUN Telok Mas.

Beliau dicabar Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dari Barisan Nasional (BN), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Pakatan Harapan) dan Muhammad Ariff Adly Mohamad (Bebas).

Seramai 20,712 pengundi layak membuang undi di DUN Telok Mas menurut data SPR.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

694
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: Setakat 11 pagi, 27 peratus rakyat Melaka keluar mengundi
Next post [Galeri Foto] Suasana sekitar hari mengundi PRN Melaka
Ubah saiz-+=