Sistem kad pengenalan ikut sektor atasi masalah pemindahan pekerja
TAPAH, 12 Jun – Kementerian Sumber Manusia akan memperkenalkan sistem kad pengenalan mengikut sektor di negara ini bagi mengatasi masalah pekerja asing yang dilaporkan berpindah ke sektor lain sewenang-wenangnya.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata permintaan tinggi di sektor perladangan terutamanya susulan kenaikan harga kelapa sawit ketika ini menyebabkan pemilik ladang sanggup membayar gaji yang lebih, sehingga ada pekerja yang bertukar ke sektor itu.
“Ini menyebabkan ada pekerja yang lari dan dicuri antara sektor, jadi sekarang kita berusaha mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Tapah di sini hari ini.
Beliau berkata pengenalan sistem kad pengenalan mengikut sektor itu juga dapat memastikan tiada majikan menyalah guna pendaftaran pekerja.
“Satu lagi masalah saya lihat kalau ikut pembayaran levi untuk sektor pertanian adalah lebih murah, maka ramai majikan walaupun dalam sektor lain tetapi mereka membawa masuk pekerja warga asing dengan saluran pertanian kerana lebih murah.
“Dengan memperkenalkan sistem kad mengikut sektor ini, kita dapat atasi perkara ini dan ia juga akan memudahkan penguatkuasaan pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.
Jumaat lepas Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata peningkatan harga minyak sawit di dalam sektor perladangan telah menarik pekerja dari sektor lain dan memberi kesan kepada sektor pembinaan apabila pekerja mereka berpindah ke sektor itu.
Sementara itu Saravanan berkata pihaknya yakin isu kelewatan kemasukan pekerja asing ke negara ini akan selesai pada penghujung bulan ini dan para majikan diminta bersabar menunggu proses pegambilan tenaga kerja luar yang perlu mengambil masa.
Terdahulu mengenai Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia Negeri Perak yang diadakan selama dua hari bermula semalam, beliau berkata 8,615 kekosongan jawatan ditawarkan di karnival itu, dan 374 individu telah ditemu duga setakat petang semalam.
“Dari jumlah itu 53 pencari kerja berjaya dalam temu duga dan 140 orang berjaya mara ke pusingan kedua temu duga dengan 32 majikan,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.