Sorting by

×

ADAT PERKAHWINAN JAWA ‘MENYALA’ DI KAMPUNG BUKIT DURIAN

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER MOLEK 4 Mei – Seorang bapa sanggup menempah pakaian pengantin khas dari Jogjakarta semata-mata untuk memastikan adat perkahwinan anaknya dilangsungkan dalam keindahan tradisi Jawa yang sebenar.

Perkahwinan Muhammad Harith Sani, anak kedua kepada Hassan Abdul Motalip, 55, menjadi tumpuan apabila majlis itu menyatukan elemen klasik dan moden lengkap dengan pakaian adat Jawa yang dibawa dari Indonesia serta sentuhan juru andam berpengalaman.

Hassan yang merupakan bekas dekan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) memaklumkan, sebagai ketua keluarga, dia mahu adat Jawa dalam keluarga dikekalkan bagi menyambung legasi tersebut.

“Saya tidak mahu anak-anak hanya kenal budaya melalui cerita. Sebab itu saya pilih untuk raikan majlis perkahwinan ini dengan adat Jawa sepenuhnya.

“Pakaian pengantin saya tempah khas dari Jogjakarta, termasuk aksesori dan hiasan kepala. Saya juga mengupah juru andam profesional yang pernah belajar dandanan Jawa secara formal di Indonesia,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di rumahnya di Kampung Bukit Durian.

Img 20250504 172552 116
ADAT Injak Telur membawa simbol pengorbanan dan tanggungjawab. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurut Hassan, pakaian itu menjadi tumpuan utama majlis kerana lengkap dengan corak tradisional, fabrik halus dari batik tenunan khas serta sulaman emas halus yang mencerminkan keindahan adat dan simbol kemuliaan dalam perkahwinan Jawa.

“Majlis dimulakan dengan perarakan pengantin, diiringi irama lembut muzik gamelan, mencipta suasana yang seolah-olah membawa para tetamu ke zaman silam.

“Sepanjang perarakan, beberapa adat tradisi dijalankan secara langsung di hadapan para tetamu antaranya penyerahan tanda (simbol penerimaan dan restu keluarga) dan seterusnya balangan sirih (lambang kasih sayang dan kemesraan).

“Kemudian ia diikuti dengan injak telur (simbol pengorbanan dan tanggungjawab) serta suapan pulut di pelamin dan dhahar walimah iaitu jamuan makan beradab,” katanya.

Img 20250504 172402 566
ADAT Sungkeman atau memohon restu turut diketengahkan pada perkahwinan itu. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurutnya, salah satu detik paling menyentuh perasaan ialah sungkeman iaitu saat pasangan pengantin memohon restu, ampun dan doa daripada kedua ibu bapa dengan penuh hormat, tunduk serta menyembah tangan.

“Detik ini menjadi simbol puncak penghormatan dalam adat Jawa, namun untuk mendapatkan bentuk adat yang sebenar agak mencabar terutamanya dari segi pakaian, peralatan adat dan tenaga mahir.

“Saya gabungkan sedikit elemen moden, contohnya dalam aspek jamuan dan khemah, tapi inti majlis masih mengekalkan adat Jawa.

“Saya mahu ia jadi satu kenangan yang hidup, bukan hanya untuk anak-anak saya, tetapi juga buat saudara-mara dan komuniti di sini,” katanya.

Hassan mempunyai empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan, masing-masing berusia 25 hingga 17 tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post WANITA MAUT DIGILIS LORI SELEPAS TERCAMPAK DARI KERETA
Next post JPJ MELAKA KESAN ‘YOUTUBER’ TUNGGANG SKUTER ELEKTRIK DI LEBUH AMJ