Sorting by

×

JPJ MELAKA KESAN ‘YOUTUBER’ TUNGGANG SKUTER ELEKTRIK DI LEBUH AMJ

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 4 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka sedang mengesan tiga individu dipercayai ‘YouTuber’ yang tular dalam satu video berdurasi 18 saat menaiki kenderaan mikromobiliti di jalan raya awam, semalam.

Video yang dimuat naik seorang pengguna media sosial itu menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana jelas menunjukkan pelanggaran peraturan lalu lintas dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Menurut Timbalan Pengarah JPJ Negeri Melaka Khairul Aswad Abdul Halim, tindakan tersebut melanggar Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], yang melarang penggunaan kenderaan tidak dibenarkan di jalan awam.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya.

“Menerusi Perintah Larangan Kenderaan (Penggunaan Jalan) (Pindaan) 2021, penggunaan kenderaan mikromobiliti seperti e-skuter, hoverboard, monowheel, segway dan basikal elektrik tanpa kelulusan jenis adalah dilarang sepenuhnya di jalan raya awam.

“Kenderaan ini hanya dibenarkan di lokasi yang dikhaskan seperti taman rekreasi, laluan khas atau kawasan persendirian. Menggunakannya di jalan raya adalah tindakan berisiko tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam memantau pergerakan anak-anak, khususnya berkaitan penggunaan kenderaan mikromobiliti yang kini semakin popular.

“Sebarang maklumat berhubung pelanggaran undang-undang ini boleh disalurkan kepada JPJ atau pihak berkuasa terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu tular rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai YouTuber terkenal menunggang sebuah skuter elektrik yang diubah suai dan membawa dua lagi pembonceng di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bachang.

Video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menunjukkan skuter tiga lelaki itu berhenti di lampu isyarat Lebuh AMJ Bachang sebelum meneruskan perjalanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5240
Kongsi :
Previous post ADAT PERKAHWINAN JAWA ‘MENYALA’ DI KAMPUNG BUKIT DURIAN
Next post PASAR TERAPUNG MELAKA BAKAL DIBUKA SEMULA JUN DEPAN