Sorting by

×

ADUAN BERKURANG BUKTI KECEKAPAN PENTADBIRAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 16 April – Penurunan jumlah aduan rakyat bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi petunjuk jelas kepada keberkesanan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menangani isu-isu yang dekat di hati rakyat.

Perkembangan positif ini turut dizahirkan melalui Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bersama Rakyat (HEBAT) Siri 2 Tahun 2026 yang terus mendapat sambutan menggalakkan, dengan kehadiran orang ramai seawal jam 10 pagi bagi menyampaikan pandangan serta mendapatkan penyelesaian secara terus daripada barisan Exco dan Timbalan Exco.

Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri Melaka, Ezlyn Fardiha Zainal berkata, bagi siri kali ini, program HEBAT merekodkan sebanyak 155 aduan, memperlihatkan trend penurunan yang memberangsangkan berbanding labih 300 aduan direkodkan sebelum ini.

“Perkembangan ini mencerminkan bahawa sebahagian besar isu yang dibangkitkan sebelum ini telah diberi perhatian dan tindakan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri.

“Sehingga tahun 2025, lebih 90 peratus aduan yang diterima telah diselesaikan, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan dalam memastikan setiap suara rakyat tidak dipinggirkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut beliau, penurunan jumlah aduan ini juga memberi gambaran bahawa pendekatan turun padang dan penyelesaian secara langsung semakin membuahkan hasil, selain meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pentadbiran negeri.

“Ini bukan bermakna ruang aduan semakin tertutup, sebaliknya menunjukkan bahawa banyak isu telah ditangani lebih awal, secara proaktif dan berfokus.

“Pada masa sama, setiap cadangan dan pandangan yang diterima terus diangkat ke peringkat pentadbiran negeri untuk tindakan susulan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menyambut baik peluang untuk terus mendekati rakyat melalui platform seperti ini.

“Beliau kekal komited untuk terus turun padang, mendengar sendiri denyut nadi rakyat dan memastikan setiap amanah yang diberikan dilaksanakan sebaiknya demi kesejahteraan negeri dan rakyat Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

648
Kongsi :
Previous post ALHAMDULILLAH REZEKI TUNAI HAJI BERSAMA ISTERI
Next post PENYELENGGARAAN SEKOLAH LAMA JADI KEUTAMAAN – EXCO