
AGENDA SEJAHTERAKAN ASAHAN BELUM BERAKHIR
ASAHAN 23 Ogos – Tamatnya siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan bukan bermakna komitmen Kerajaan Negeri terhadap lebih 32,000 warga kawasan itu turut berakhir.
Sebaliknya, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan Kerajaan Negeri akan terus bekerja, berkhidmat dan menyantuni rakyat Asahan selagi amanah rakyat masih dipikul.
“Jelajah ini mungkin melabuhkan tirainya, namun saya ingin menegaskan satu perkara bahawa komitmen dan tanggungjawab Kerajaan Negeri terhadap DUN Asahan tidak akan pernah berakhir.
“Insya-Allah, selagi amanah rakyat ini dipikul, selagi itulah Kerajaan Negeri akan terus bekerja, terus berkhidmat dan terus menyantuni warga Melaka yang disayangi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah MeSRa Bersama Masyarakat sempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan di Taman Nyalas Permai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Ab Rauf berkata, pendekatan turun padang yang dilaksanakan menerusi jelajah berkenaan menjadi bukti Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mendekati rakyat serta memahami keperluan mereka secara langsung.
Menurutnya, usaha menyantuni rakyat tidak seharusnya terhenti selepas sesuatu program selesai, sebaliknya perlu diteruskan menerusi tindakan dan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


