Agong berkenan cemar duli santuni mangsa banjir di PPS CIAST

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SHAH ALAM, 25 Dis – “Take care everybody (Jaga diri semua),” demikian pesanan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum berangkat meninggalkan pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19, di sini pagi ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke PPS sekitar 9.50 pagi disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut menyambut ketibaan Al-Sultan Abdullah ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Di fasiliti tersebut, Al-Sultan Abdullah berkenan mendapat penerangan daripada Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abdul Raji berhubung keadaan banjir di Klang khususnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam kira-kira 20 minit.

Taman Sri Muda adalah kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan di bawah pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Klang.

Seri Paduka yang lengkap berpakaian celoreng turut berkenan menyantuni 149 mangsa banjir daripada 39 keluarga di PPS itu termasuk menghulur bantuan barangan keperluan dan wang tunai kepada mereka.

Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa kira-kira 40 minit menyantuni mangsa yang terjejas dengan banjir dari Taman Sri Muda dan turut mengucapkan “Merry Christmas” (Selamat Hari Krismas) kepada mangsa yang menyambut perayaan tersebut hari ini sebelum berangkat ke lokasi seterusnya di Masjid Taman Sri Muda, di sini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

826
Kongsi :
Previous post Individu pulang tunai umrah wajib pakai peranti pengesanan digital
Next post Jarak masa baharu terima dos penggalak diumum minggu depan – Khairy
Ubah saiz-+=