Agong dan Raja Permaisuri lawat Bazar Peringgit

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PERINGGIT 5 April – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memandu sendiri kenderaan rasmi baginda untuk mengujungi Bazar Ramadan Peringgit, di sini, petang ini.

Mengiringi lawatan baginda ke bazar berkenaan, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakanda, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tiba di bazar berkenaan pada jam 4.45 petang dengan disambut Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Turut menyambut pasangan diraja itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri, Datin Seri Zuriyah Abd Aziz.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari selain Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam lawatan kira-kira satu jam itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah beramah-mesra dengan peniaga selain melayan permintaan pengunjung untuk berswafoto bersama.

Raja Permaisuri Agong turut berkongsi resepi dengan seorang daripada peniaga martabak rendang daging, Mohd Razi Hamid, 39, supaya membuat tiga lapisan berbanding dua bagi mengelakkan inti makanan itu terkeluar.

Ketika lawatan itu di bazar sejauh hampir satu kilometer itu, pasangan Diraja berkenaan membeli pelbagai juadah antaranya nasi beriani, kuih keria dan puding caramel untuk dibawa pulang sebagai juadah berbuka puasa.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudiannya dijadual berangkat menghadiri majlis pemasyhuran Masjid Ar-Razzaq dan majlis berbuka puasa di Pasir Puteh, Bachang di sini.

Terdahulu, pasangan diraja itu berangkat tiba untuk lawatan dua hari ke Negeri Melaka, bermula hari ini.

Pesawat khas membawa Seri Paduka Baginda berdua berserta pengiring selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, di sini, jam 11.56 pagi tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2287
Kongsi :
Previous post Guna lori tangki berdaftar seleweng diesel bersubsidi
Next post Lampu ketupat, kelip-kelip indahkan kawasan MPHTJ
Ubah saiz-+=