Sorting by

×

AHLI DEWAN BELIA MELAKA PERLU BAWA IDEA BERNAS, BERKUALITI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 11 Ogos – Ahli Dewan Belia Negeri Melaka bebas mengemukakan pandangan dan cadangan dalam apa jua bentuk asalkan idea yang di bawah bernas serta boleh dilaksanakan demi pembangunan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, persidangan itu bukan soal kedudukan sebagai penyokong kerajaan atau pembangkang, sebaliknya ia perlu menyuarakan suara belia di negeri ini.

Pada masa sama, ujar beliau, cadangan yang dikemukakan juga perlu menjurus kepada sumbangan positif demi kemajuan negeri dan bangsa.

“Persidangan ini bukan soal perbezaan kedudukan sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan.

“Kalau ada pembangkang sekalipun tetapi cadangannya ‘sampai ke longkang’, ia tidak memberi nilai tambah. Jadi tiada isu atau masalah tiada pembangkang dalam persidangan ini.

“Sebaliknya, kaedah hujahan dan perbahasan yang berkualiti akan membantu membina negeri dan bangsa ke arah lebih baik serta membolehkan pentadbiran berjalan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Melaka Tahun 2025 di Anjung Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Speaker Dewan Belia Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Ahli Dewan Belia yang dilantik diharap menjadi rakan strategik Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan Melaka ke arah lebih baik.

Katanya, kesemua ahli terpilih pada penggal pertama itu dilihat bersemangat menimba pengalaman dan memberi pandangan demi kemajuan negeri.

“Saya harap persidangan yang berlangsung ini dapat berjalan dengan terancang, penuh ilmiah dan menjadi platform pembelajaran kepada golongan muda yang merupakan penerus masa depan negeri dan negara.

“Pengalaman kami sebagai pemimpin yang dipilih rakyat diharap dapat dijadikan ukuran untuk memacu Melaka lebih baik pada masa akan datang,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post MELAKA PERLUAS KEMPEN INTERNET SELAMAT DI SEKOLAH
Next post KADAR PENGANGGURAN MELAKA TURUN 1.9 PERATUS