AI BUKAN ANCAMAN, TAPI PELUANG MARTABAT BAHASA MELAYU – DBP

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 21 Oktober – Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan ancaman kepada kelangsungan bahasa Melayu, sebaliknya membuka peluang lebih luas untuk memartabatkan bahasa kebangsaan menerusi pendekatan kreatif dan digital.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr. Hazami Jahari berkata, teknologi AI boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan pelbagai kandungan kreatif dalam bahasa Melayu, termasuk lagu dan lirik, sekali gus memperluas penggunaannya dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sentuhan manusia tetap penting bagi memastikan kandungan yang dihasilkan mempunyai jiwa, nilai dan penghayatan yang mencerminkan identiti bahasa kebangsaan.

“Dia bukan ancaman. Dia satu peluang yang baik kepada kami untuk menyebarluaskan bahasa kebangsaan dengan pendekatan teknologi baharu ini.

“Kita boleh mencipta lagu, kita boleh mencipta lirik, kita boleh mencipta sesuatu dengan mudah dengan bantuan AI, tetapi sentuhan akhir mesti datang daripada jiwa kita,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 Peringkat Zon Selatan serta Penutupan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan 2026 yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Melaka Datuk Maslina Baki selaku wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh di Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Hazami berkata, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan dijadualkan berlangsung di Padang Kota Lama, George Town, Pulau Pinang pada 24 Oktober ini sebagai acara penutup kepada rangkaian kegiatan berkaitan bahasa kebangsaan sepanjang tahun.

Menurutnya, majlis berkenaan akan merumuskan pelbagai usaha yang dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Sehubungan itu, penganjuran itu turut melibatkan kerjasama jawatankuasa di Pulau Pinang dan pelbagai agensi bagi memastikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan terus mendapat sokongan menyeluruh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

153
Kongsi :
Previous post MELAKA TERUS MARTABAT BAHASA KEBANGSAAN