Aidilfitri penuh makna

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU 14 April – “Aidilfitri tahun ini amat bermakna selepas tahun lalu kami sekeluarga diuji dengan dugaan yang tidak dijangka,” itu kata Nor Shahierah Zainal, 29.

Menurut Nor Shahierah, kehidupan keluarganya sekelip mata berubah apabila suami Mohd Khaidir Md Isa, 32, mengalami kemalangan di tempat kerja pada Oktober 2022.

Katanya, akibat kemalangan itu suaminya koma selama dua bulan, tidak dapat berjalan dan lebih mencabar wanita ini apabila Mohd Khaidir hilang ingatan.

“Alhamdulillah sekarang suami dapat berjalan semula, melihat perkembangan suami barulah saya bersemangat untuk sambut Aidilfitri, memang teruja untuk tunggu pagi Syawal.

“Bukan sahaja saya dan anak-anak malah suami juga teruja apabila siap ingatkan saya supaya tukar duit raya malah belikan air botol seperti selalunya.

“Allah makbulkan doa kami semua untuk lihat suami kembali sihat dan dapat berjalan walaupun tidak pulih sepenuhnya lagi,” katanya.

Img 20240414 Wa0007
SUAMI isteri itu menerima kunjungan Skuad Perkeso Prihatin yang diketuai Hee Sem dan Kalsom.

Terdahulu, Nor Shahierah dan Mohd Khaidir menerima kunjungan Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Prihatin yang diketuai Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem bersama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin di kediaman mereka di Kampung Pasir Puteh, Bachang, di sini, baru-baru ini.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, akibat kemalangan di tempat kerja suaminya mengalami kecederaan parah antaranya patah tulang pinggul, tulang bahu dan rusuk kiri termasuk kecederaan pada otak.

“Selama dua tahun suami terlantar malah lebih menyedihkan dia tidak kenal orang sekeliling termasuk saya dan anak-anak. Sepanjang tempoh itu semua rutin harian diuruskan oleh saya dengan bantuan ahli keluarga.

“Walaupun dalam pantang anak ketiga saya terpaksa gagahkan diri juga untuk jaga dan pulihkan ingatannya. Apa yang doktor terangkan saya ikut dan praktis kerana ingin dia kembali sihat serta kami dapat jalani kehidupan normal seperti sebelum ini.

“Dia kembali kenal anak-anak pertengahan tahun lalu walaupun tidak sepenuhnya. Walaupun sedih melihat keadaan suami tetapi kerap cabar dia dengan berkata kalau rasa nak berjalan dengan anak-anak awak kena kuat serta buktikan kerana saya tahu suami seorang yang pantang dicabar,” katanya.

Katanya, dia tidak sangka ketika berpantang anak bongsunya yang kini berusia 10 bulan, suaminya tiba-tiba dapat bangun dan duduk diatas katil tanpa bantuan sesiapa.

“Suami sempat masuk ke Pusat Rehab PERKESO selama sebulan sahaja sebelum pulang semula ke rumah kerana ketika itu saya sudah sampai waktu untuk bersalin. Waktu ini dia masih tidak dapat duduk sendiri lagi dan perlukan bantuan.

“Dalam tempoh berpantang itu tanpa disangka suami tiba-tiba boleh bangun dan duduk sendiri diatas katilnya, kami amat terkejut waktu itu, mungkin disebabkan nalurinya yang ingin melihat bayi kami dia kuatkan diri cuba bangkit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

156
Kongsi :
Previous post Kejadian tembak di KLIA Terminal 1 bersifat peribadi – Polis
Next post Cuaca panas: KKM rekod 45 kes penyakit berkaitan haba setakat semalam
Ubah saiz-+=