
AJAK SHIRO PUJI MELAKA NEGERI ‘HIDUP’, BANYAK TARIKAN
BANDARAYA MELAKA 3 November – Pelawak dan usahawan, Ajak Shiro, menyatakan rasa kagum terhadap keunikan dan daya tarikan dimiliki Melaka, sekali gus menyifatkan negeri bersejarah ini sebagai antara destinasi paling menarik di Malaysia.
Menurutnya, keindahan seni bina, suasana tenang di tepi Sungai Melaka serta keramahan masyarakat tempatan menjadikan Melaka sebuah negeri yang hidup dengan identiti tersendiri.
“Saya memang suka suasana Melaka, tenang, bersih, tapi tetap meriah.
“Bila datang sini rasa lain, ada nilai sejarah tapi dalam masa sama moden dan hidup, lagi pula saya ini kelahiran Johor, berjiran dengan Melaka memang teringat memori kecil-kecil dahulu ayah sering bawa ke sini dulu.
“Oleh sebab itu, saya memilih Melaka sebagai destinasi untuk melabur dalam perniagaan kerana ‘pelancongan makan-makan’ di sini memiliki potensi cukup besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Grand Launch Restoran Bumbu Babah yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum di Jalan Hang Tuah, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak menyatakan sekiranya berpeluang, dia tidak menolak kemungkinan untuk membuka cawangan ketiga restoran nasi padang miliknya di negeri ini.
“Saya kalau mahu buka cawangan ketiga di Melaka, pemilihan lokasinya biarlah di tepi laut, santai. Melaka pun ada pantai cantik yang terkenal seperti Pengkalan Balak dan Tanjung Bidara.
“Usaha ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh industri pelancongan dan makanan negeri ini.
“Melaka ni lengkap, dari sejarah, budaya sampai makanan. Kalau ada rezeki, memang seronok kalau dapat sama-sama jadi sebahagian daripada suasana ni,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


